LONDON: Ruben Amorim menjanjikan penjelasan mengenai masa depannya selepas perlawanan Sporting Lisbon ketika spekulasi bertiup kencang bahawa beliau hampir menjadi pengurus baharu Manchester United.
United memecat Erik ten Hag selepas kekalahan 2-1 kepada West Ham yang meninggalkan mereka di tangga ke-14 Liga Perdana menerusi tiga kemenangan daripada sembilan perlawanan.
Amorim disebut sebagai sasaran utama kelab, dan Sporting mengeluarkan kenyataan kepada bursa saham Lisbon bahawa United bersedia membayar klausa pelepasannya sebanyak 10 juta euro (RM47 juta).
Perkhabaran mengatakan bahawa pengumuman Amorim sebagai pengurus baharu United akan dibuat pada hari terbabit namun kenyataan itu kelihatan kurang tepat.
Jurulatih terbabit menghadapi pelbagai persoalan mengenai perpindahannya semasa sidang media sebelum perlawanan liga menentang Estrela, namun beliau tetap berdiam diri.
“Ini adalah rundingan antara dua kelab,” katanya pada Khamis. “Ia tidak pernah mudah. Walaupun ada klausa, tetap sukar, mereka harus berbincang.”
“Kita akan ada penjelasan selepas perlawanan. Ia akan menjadi sangat jelas, jadi hanya satu hari lagi. Selepas perlawanan esok, kita akan membuat keputusan,” kata Amorim.
Pengurus Sporting ini dilaporkan bersetuju kontrak hingga 2027, dengan pilihan untuk melanjutkan setahun lagi.
Perlawanan pertamanya dijangka akan menjadi lawatan ke Ipswich pada 24 November.
The Athletic sebelum ini melaporkan bahawa United mencapai persetujuan dengan Sporting, dan Amorim akan terus bersama juara Portugal itu untuk tiga perlawanan berikutnya membabitkan perlawanan Jumaat menentang Estrela, pertembungan Liga Juara-Juara bertemu Manchester City minggu depan dan pertembungan dengan Braga. – AFP