Pembuatan tikar, peralatan kegunaan seharian dan kraf tangan dari tumbuhan seperti buluh, mengkuang, rotan dan bemban masih mendapat tempat di hati masyarakat pada hari ini meskipun bahan asas untuk membuat produk berkenaan semakin sukar didapati.
Meskipun mempunyai kesukaran dalam mencari bahan asas dan sukar untuk mempromosikan produk anyaman tersebut ke pasaran tempatan, ia tidak menghalang seorang wanita warga tempatan untuk terus menghasilkan semua kraftangan tersebut.
‘Bejalai betungkatka adat, tinduk bepanggalka pengingat’ merupakan peribahasa Iban yang menggambarkan kesungguhan Amoi Anggun, 51, seorang pekebun yang mengakui bahawa usaha tersebut perlu diteruskan bagi mengekalkan kegemilangan seni anyaman sebagai warisan generasi yang akan datang.
Peribahasa yang membawa maksud adat dan budaya hendaklah terus dipelihara walau di mana kita berada mencerminkan usaha Amoi dalam melestarikan budaya tersebut.
“Saya akui bahawa ia amat sukar untuk mendapatkan bahan asas seperti rotan dan bemban atas faktor penebangan hutan dan sebagainya namun saya tetap melakukan usaha menganyam tikar dan kraf tangan yang lain atas dasar minat dan sayang mendalam terhadap budaya ini.
“Meskipun dunia semakin moden, tidak dinafikan bahawa masih ramai yang gemar akan kraf tangan yang dihasilkan terutamanya peralatan kegunaan seharian seperti tikar, bakul, ‘pemansai’ (sejenis alat digunakan untuk menangkap ikan) dan sebagainya.
“Kebanyakannya adalah untuk digunakan dalam kehidupan seharian dan ada juga yang membeli untuk dijadikan buah tangan kepada orang lain atau tanda kenangan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Amoi memberitahu kesukaran untuk mendapatkan jaringan internet di kampung pedalaman menjadi salah satu faktor usaha beliau sukar untuk dipromosikan kepada skala yang lebih besar.
“Saya tinggal di rumah panjang yang terletak di kawasan pedalaman dan agak sukar untuk mendapatkan jaringan internet dan telefon.
“Oleh yang demikian, ia menyukarkan saya untuk mencari pelanggan dalam skala yang lebih besar serta mempromosikannya secara atas talian dan saya hanya berharap para pelanggan yang telah membeli hasil kerja saya dapat mengesyorkannya kepada kenalan yang lain.
“Namun demikian, hal tersebut tidak akan pernah menjadi alasan untuk saya berhenti meneruskan usaha ini kerana saya percaya akan sentiasa ada orang yang berminat untuk membelinya dan ia juga merupakan salah satu daripada sumber pendapatan sampingan saya,” jelasnya yang mengakui bahawa beliau akan menambah pelbagai koleksi dan kraf tangan lain daripada bahan semulajadi tersebut seperti beg tangan, dompet dan sebagainya.
Dalam kesempatan tersebut, Amoi menzahirkan harapan agar pihak Kerajaan bertindak lebih proaktif untuk membantu usahawan di rumah panjang selain daripada mempromosikan produk kraf tangan Sarawak sehingga ke pasaran dunia.
“Saya berharap Kerajaan mempunyai pelan strategik bagi membantu usahawan yang berada di pedalaman seperti menyediakan prasarana untuk mempromosikan bahan tersebut.
“Saya juga amat berbesar hati untuk mengajar masyarakat lain terutamanya anak-anak zaman sekarang yang berminat untuk belajar menganyam bagi memastikan budaya ini kekal seperti peribahasa tak lapuk dek hujan, tak lekang dek panas,” tambahnya bagi mengakhiri perbualan tersebut.
Oleh RYNNA SHA’ERRA