Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • HIBURAN
  • Amir UK’s antara 82 terperdaya tawaran haji percuma
  • HIBURAN

Amir UK’s antara 82 terperdaya tawaran haji percuma

Utusan Sarawak 3 days ago
PENYANYI Amir UK’s atau nama sebenarnya, Muhammad Azmir Muhammad Yusof, 56 dan isterinya Sarimah Ahmad, 51.

SEPANG: Sebanyak 82 individu dipercayai terperdaya dengan tawaran menunaikan haji secara percuma menerusi tajaan seorang ‘dermawan’.

Antaranya ialah penyanyi Amir UK’s atau nama sebenarnya, Muhammad Azmir Muhammad Yusof, 56 dan isterinya Sarimah Ahmad, 51.

Beliau berkata mereka diyakinkan berkali-kali akan terbang ke Makkah tetapi akhirnya terkandas di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) Terminal 1, semalam.

Berkongsi insiden yang berlaku, Amir berkata segala-galanya bermula apabila isterinya dimaklumkan oleh seorang rakan sekerja pada 9 April mengenai peluang mengerjakan haji secara percuma yang ditaja sepenuhnya oleh seorang individu dermawan.

Susulan itu, selepas memberikan butiran diri dan salinan pasport, beliau dan isterinya dimasukkan ke dalam platform WhatsApp bernama “Tetamu Allah Haji Akbar 2025”.

“Kami hanya diminta untuk menyerahkan nama dan nombor pasport. Tiada bayaran dikenakan.

“Semua komunikasi hanya berlaku menerusi platform WhatsApp yang dikendalikan oleh individu tertentu, bukan ejen rasmi pelancongan tetapi jemaah yang dilantik menguruskan,” katanya dalam sidang media di sini hari ini.

Amir berkata jemaah dalam WhatsApp turut diminta menghadiri kursus haji di Grand Barakah, Ampang pada 24 Mei lepas dan melakukan persediaan seperti mengambil suntikan vaksin dan menyerahkan pasport.

Beliau berkata keseluruhan kos persediaan itu dianggarkan lebih RM4,000 namun jemaah dijanjikan akan dibayar balik oleh penaja berserta duit poket.

Menurut Amir surat tawaran haji dikongsikan dalam WhatsApp pada 27 Mei yang kononnya daripada agensi pelancongan terkenal dan dijanjikan visa Mujamalah.

Visa Mujamalah dikeluarkan oleh kerajaan Arab Saudi yang hanya diberikan kepada individu atau kumpulan tertentu.
Amir berkata mengikut maklumat dalam WhatsApp, beliau dan isterinya dijadualkan berlepas pada 1 Jun lepas menerusi penerbangan ke Jeddah 5.35 petang.

“Kami tiba di KLIA seawal 11.00 pagi. Namun, tiada wakil agensi pelancongan hadir mahupun jemaah kelihatan. Kemudian kami dimaklumkan tiada pergerakan ke KLIA untuk hari itu.

“Keesokan harinya, satu mesej menyatakan bahawa penerbangan akan berlaku sekitar 3.00 hingga 5.00 pagi pada 3 Jun melalui penerbangan carter dari Kompleks Bunga Raya,” katanya.

Amir berkata mesej itu memberi harapan dan meyakinkan mereka namun penantian tersebut ternyata sia-sia kerana individu yang dipercayai memegang tiket penerbangan, visa dan pasport tidak muncul sehingga kini.

“Memang luluh hati sebab kita tak sangka benda ini akan berlaku sebab kami betul-betul diberi keyakinan yang kita tetap akan terbang dengan penerbangan carter,” katanya.

Amir berkata selepas menyedari menjadi mangsa penipuan, beliau dan isterinya telah membuat laporan di Balai Polis KLIA bagi mendapatkan pasport mereka yang dipegang individu lain.

“Sebelum ini, pasport itu telah diserahkan jemaah kepada individu yang menguruskan urusan haji tetapi selepas laporan polis dibuat kami diminta untuk mengambilnya di Setia Alam.

“Namun, saya dan isteri belum mengambil pasport berkenaan kerana mahu menyelesaikan beberapa perkara lain dahulu selepas gagal terbang ke Tanah Suci,” katanya.

Terdahulu polis mengesahkan menerima laporan berhubung insiden membabitkan kira-kira 80 individu yang terkandas di KLIA selepas didapati menggunakan visa pelancong untuk menunaikan ibadah haji.

– Bernama

Tags: Hiburan

Continue Reading

Previous: Jessie J dedah hidap kanser payudara peringkat awal
Next: Konsert Dadali ‘Sebuah Kisah Volume 1’ gegar Zepp KL 5 Julai ini

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.