Amerika Latin bersatu sokong Sepanyol, harap Argentina gagal pertahan gelaran

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram

SAO PAULO: Walaupun negara-negara Amerika Latin lazimnya bersatu memberi sokongan kepada wakil rantau itu yang mara jauh dalam Piala Dunia FIFA, kali ini Argentina menjadi pengecualian apabila ramai penyokong dari Mexico hingga Brazil berharap Sepanyol menewaskan juara bertahan itu pada final awal pagi esok (waktu Malaysia).

Gelombang meme, jenaka dan kritikan di media sosial menunjukkan ramai peminat bola sepak di rantau berkenaan tidak mahu Lionel Messi dan Argentina menjulang trofi buat kali keempat.

Salah satu gambar suntingan yang tular memaparkan bintang muda Sepanyol, Lamine Yamal, memakai jersi Brazil dengan kapsyen sinis, “Harapan rakyat Brazil.”

Sentimen itu bukan sekadar berpunca daripada persaingan tradisi antara Brazil yang dipimpin legenda Pele dan Argentina yang pernah diketuai Diego Maradona, malah penyokong di Mexico, Colombia, Chile dan beberapa negara lain turut berharap skuad Albiceleste tumbang.

Fenomena sama turut berlaku menjelang final Piala Dunia 2022 di Qatar yang akhirnya dimenangi Argentina.

Ahli sosiologi Colombia, German Gomez, berkata semangat solidariti Amerika Latin terhadap Argentina semakin pudar.

Menurutnya, era digital dan media sosial menyemarakkan naratif bahawa Argentina merupakan “anak emas” FIFA dan Presidennya, Gianni Infantino.

“Argentina mendapat bantuan pengadil,” dakwa penyokong Brazil, Francisco Santos, ketika bertukar pelekat Piala Dunia di sebuah pusat beli-belah di Sao Paulo, sambil mengimbau sorakan penyokong apabila England menjaringkan gol pertama ketika menentang Argentina pada separuh akhir.

Katanya, jika Brazil gagal muncul juara buat kali keenam, beliau lebih rela melihat Sepanyol meraih gelaran kedua berbanding Argentina menjulang trofi keempat.

Pengkritik mendakwa Argentina sering memperoleh keputusan yang memihak kepada mereka, termasuk sepakan penalti serta layangan kad kuning dan merah terhadap lawan, walaupun kebanyakan keputusan itu disahkan tepat oleh FIFA dan pakar pengadilan.

“Kami akan menyokong Sepanyol,” kata pekerja kewangan dari Bogota, Juan Camilo Abusaid.

‘Piala Dunia ini sangat berbaur politik’

Anggota polis dari Mexico City, Antonio Lopez, mengakui Messi ialah seorang legenda bola sepak.

Namun, katanya, jika sesebuah pasukan mahu menjadi juara dua kali, mereka perlu berjuang di atas padang tanpa bantuan pengadil.

Ketika satu sidang media, Presiden Mexico, Claudia Sheinbaum, sempat bergurau dengan bertanya kepada wartawan pasukan pilihan mereka pada final.

“Sepanyol! Sepanyol!” jawab mereka serentak.

Profesor antropologi sukan Mexico, Jorge Negroe, pula berpendapat Piala Dunia kali ini “sangat berbaur politik”.

German Gomez menambah, jika Maradona dahulu dilihat sebagai tokoh revolusioner yang mencabar kuasa FIFA, naratif hari ini menggambarkan Messi sebagai “anak emas” badan induk bola sepak dunia itu.

Politik negara turut mempengaruhi sentimen tersebut.

“Saya memang tidak suka Javier Milei,” kata Rachid Sjoberg, seorang petugas makmal pertanian di Santiago, Chile.

“Saya tidak mahu beliau menggunakan kemenangan Piala Dunia untuk berbangga jika Argentina menang.”

Pada masa sama, sebahagian penyokong dan pemain Argentina turut berdepan tuduhan perkauman, termasuk nyanyian yang pernah memperlekeh pemain kulit hitam Perancis sebagai bukan rakyat Perancis sebenar.

Di peringkat kelab pula, terdapat sejarah penyokong Argentina membaling pisang ke padang atau membuat isyarat menyerupai monyet terhadap pemain kulit hitam dan penyokong Brazil.

Sepanjang Piala Dunia kali ini, FIFA turut mengecam tindakan seorang penyokong Argentina yang mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap pencipta kandungan terkenal Amerika Syarikat, IShowSpeed, ketika siaran langsung.

‘Biarlah siapa yang terasa’

Messi sendiri mengakui pasukannya sering menjadi perhatian, sama ada ketika menang atau kalah.

“Empat tahun lalu kami mencapai impian untuk bermain di final dan menjadi pasukan terbaik selama empat tahun. Kini kami sekali lagi membuktikan tiada siapa memberikan apa-apa secara percuma kepada kami, dan kami sekali lagi berada dalam kalangan dua pasukan terbaik.

“Biarlah siapa yang terasa.”

Sebuah jenama minuman fernet yang popular di Argentina turut mengambil kesempatan terhadap sentimen anti-Argentina itu menerusi iklan bertemakan “Kami memang menyakitkan hati”, yang memaparkan penyokong pelbagai negara berkongsi rasa kecewa terhadap keghairahan melampau rakyat Argentina terhadap bola sepak.

Walaupun ramai penyokong Amerika Latin mahu melihat Argentina tewas, skuad kendalian Lionel Scaloni tetap menerima sambutan luar biasa sepanjang kem latihan di Amerika Syarikat, dengan laungan “Messi! Messi!” bergema setiap kali mereka beraksi.

Namun, masih ada yang mempertahankan semangat solidariti serantau.

“Saya akan menyokong Argentina kerana mereka negara dari Amerika Selatan,” kata pelajar dari Lima, Valentino Tocto. — AFP