SEMATAN: Kelewatan dalam pembinaan lapan jambatan di Jalan Lundu-Sampadi yang telah siap dan Lebuhraya Pan Borneo (LPB) jajaran Moyan-Telok Melano yang dijangka siap sepenuhnya pada penhujung tahun ini dianggap sebagai ‘missing link’.
Hal tersebut didedahkan oleh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Datu, Azizul Annuar Adenan.
Katanya, projek tersebut diklasifikasikan sebagai projek tenat dan Projek Jambatan Rambungan dalam proses untuk ditamatkan tender oleh agensi bertanggungjawab.
“Justeru, saya berharap agar agensi-agensi yang bertanggungjawab dalam pembinaan Jambatan Rambungan ini dapat mengambil tindakan sewajarnya bagi memastikan pembinaannya dapat diteruskan semula dengan kadar segera,” katanya pada majlis berbuka puasa N3 Tanjong Datu di sini, semalam.
Mengulas mengenai majlis itu, seramai 35 asnaf di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tanjung Datu telah menerima sumbangan berupa wang tunai dan bantuan makanan sempena Ramadan.
Seramai 35 penerima itu merupakan asnaf terpilih dari 10 kampung Islam di Zon Sematan termasuk satu penempatan mualaf di Kampung Pueh.
Kata Azizul, usaha menyantuni para asnaf ini bukanlah sesuatu yang asing di Tanjong Datu malahan ia adalah tradisi yang beliau teruskan sejak diamalkan oleh Tok Nan dahulu lagi.
Oleh NUR AIN OTSMAN