
SYDNEY: Lebih 200,000 penduduk di timur laut Australia pada Sabtu dinasihatkan supaya bersiap sedia menghadapi angin kencang, hujan lebat dan banjir berikutan siklon tropika menghampiri pesisir pantai, lapor Xinhua.
Biro Meteorologi (BoM) pada Sabtu berkata sistem ribut tropika tekanan rendah dijangka berkembang menjadi siklon tropika kategori satu sebelum melanda pesisir timur laut negeri Queensland pada awal pagi Ahad.
Amaran siklon yang dikeluarkan oleh BoM merangkumi kawasan pesisir pantai sepanjang 470 kilometer, termasuk bandar Townsville yang mempunyai kira-kira 230,000 penduduk serta pulau-pulau peranginan. Angin kencang dengan kelajuan sehingga 100 kilometer sejam dan hujan lebat boleh menyebabkan banjir kilat yang dijangka berlaku pada Sabtu.
BoM berkata hujan lebat luar biasa di bandar-bandar di tenggara Townsville boleh menyebabkan banjir kilat berbahaya dan mengancam nyawa.
Ketua Menteri Queensland David Crisafulli memberitahu televisyen Australian Broadcasting Corporation pada Sabtu pagi bahawa bot penyelamat, selain polis, anggota bomba dan anggota Perkhidmatan Kecemasan Negeri, telah ditempatkan lebih awal di kawasan berkenaan bagi membantu operasi tindak balas.- Bernama-Xinhua