
SIBU: Seorang lelaki berusia 42 tahun dihadapkan ke Mahkamah Majistret Sibu hari ini atas pertuduhan melakukan amang seksual fizikal terhadap seorang kanak-kanak bawah umur pada 7 Mei lalu.
Bagaimanapun, tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh memandangkan kes itu berada di bawah bidang kuasa Mahkamah Sesyen.
Majistret Oon Kork Chern kemudian menetapkan 21 Mei ini untuk sebutan lanjut kes.
Sementara menunggu tarikh tersebut, tertuduh dibenarkan diikat jamin sebanyak RM8,000 dengan dua penjamin.
Berdasarkan pertuduhan, tertuduh didakwa melakukan amang seksual terhadap seorang kanak-kanak perempuan berusia 13 tahun dengan memeluk serta meraba badan dan punggung mangsa dengan niat seksual.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Hospital Sibu pada 7 Mei 2026, kira-kira 12.01 tengah malam.
Justeru, tertuduh didakwa melakukan kesalahan yang boleh dihukum di bawah Seksyen 14(a) Akta Kesalahan-Kesalahan Seksual Terhadap Kanak-Kanak 2017.
Jika sabit kesalahan, tertuduh boleh dipenjara sehingga 20 tahun dan dikenakan sebatan.
Oleh Akun Giman