
SIMANGGANG: Ahli Parlimen Sri Aman, Dato Sri Doris Sophia Brodie menggesa agar prinsip ‘4K’ dijadikan pegangan bersama oleh seluruh komuniti dalam usaha memperkukuh perpaduan dan mencapai kemajuan yang mampan.
Empat prinsip tersebut ialah kepimpinan yang tegas dan utuh, kerjasama yang erat, keprihatinan yang empati dan peduli serta kehadapan dalam membawa kemajuan.
Menurut beliau, prinsip ini bukan sahaja relevan kepada kepimpinan peringkat atas, malah wajar diamalkan oleh setiap individu dalam masyarakat demi memastikan pembangunan yang inklusif dan menyeluruh.
“Kalau kita mahu maju jaya, kita mesti mengukuhkan perpaduan dan semangat kekitaan terlebih dahulu. Tanpa ini, amat sukar untuk mencapai kejayaan bersama,” katanya ketika berucap menghadiri Majlis ‘Am Ngabang Gawai Dayak’’ di Rumah Chau Sambau, Kampung San Ugol Asal, dekat sini semalam.

Doris turut menekankan bahawa semangat perpaduan antara penduduk rumah panjang, kampung dan komuniti setempat harus sentiasa dipupuk dan diperkukuh.
“Kejayaan sesebuah masyarakat bergantung kepada sikap, semangat dan pemikiran positif penduduk itu sendiri,” ujarnya.
Doris turut berharap agar semua pihak terus berpandangan jauh dan bersedia menghadapi perubahan demi membawa kemajuan ke hadapan, seiring dengan aspirasi pembangunan negeri dan negara.
Antara pengisian utama majlis ini adalah perasmian logo Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Chau Sambau dan perasmian projek jubin bernilai RM40,000 yang telah siap sepenuhnya, projek ini merupakan salah satu Projek Mesra Rakyat (PMR) di bawah Ahli Parlimen Sri Aman.
Sebagai tambahan, beliau turut mengumumkan bahawa projek naik taraf jalan masuk ke Kampung San Ugol bernilai RM350,000 telahpun diluluskan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW).
Oleh Adi Safarman