
BEKENU: Salah satu keistimewaan rakyat Sarawak adalah setiap perayaan diraikan oleh semua kaum dengan budaya ziarah-menziarahi.
Musim perayaan terus menjadi amalan masyarakat berbilang kaum di Sarawak, sekali gus memaparkan keunikan perpaduan di negeri ini.
Timbalan Menteri Pembangunan Wanita dan Kanak-Kanak Sarawak, Datuk Rosey Yunus berkata, amalan itu bukan sahaja mengeratkan hubungan silaturahim, malah merupakan warisan yang perlu diteruskan oleh generasi akan datang.
“Di Sarawak, setiap perayaan diraikan oleh semua kaum. Hari ini, sempena Aidilfitri, kita bersama-sama meraikannya. Kita juga mempunyai tuai-tuai rumah dan penghulu dalam kalangan bangsa Cina.
“Begitu juga ketika perayaan Gawai dan Tahun Baharu Cina, kita akan melihat rombongan yang terdiri daripada pelbagai kaum yang akan bersama-sama berziarah,” katanya.
Rosey yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bekenu berkata demikian ketika ditemui media pada program ziarah raya di kediaman seorang pemimpin tempatan di Bekenu, petang semalam.
“Budaya ziarah-menziarahi perlu diterapkan kepada generasi muda agar semangat persefahaman dan toleransi terus subur dalam kalangan rakyat,” tambahnya lagi.
Sementara itu, Pemanca Ali Mudin menyokong pandangan tersebut dengan menyatakan bahawa amalan tersebut telah diwarisi sejak turun-temurun.
“Ini adalah budaya yang kita warisi turun-temurun. Ia disambut oleh seluruh masyarakat tanpa mengira kaum, bangsa dan agama secara damai, permai dan santai.
“Kita mengharapkan budaya begini akan terus memakmurkan negeri kita dan menjadi ikutan anak cucu kita pada masa depan,” ujarnya.
Antara kediaman diziarahi ialah kediaman Pemanca Ali Mudin, Penghulu Junit, Penghulu Ahmad Zaini, Penghulu Jennuin, Ketua Pemuda PBB Bekenu Abang Amzi dan Kaunselor Sulaiman Ahmad.
Oleh Adum Liu