
Gambar hiasan
Ziarah merupakan salah satu amalan yang sangat dituntut dalam Islam. Ianya bukan sahaja mengeratkan silaturahim, malah menjadi asbab kepada bertambahnya kasih sayang dan keberkatan dalam hubungan sesama manusia.
Justeru, dalam kehidupan moden yang serba sibuk, amalan berziarah kadangkala dilupakan, sedangkan ia mempunyai banyak kelebihan dan adab yang telah digariskan oleh Islam.
Setiap amalan dalam Islam perlu dimulakan dengan niat yang ikhlas kepada Allah SWT. Demikian itu, berziarah bukanlah semata-mata untuk kepentingan duniawi, malah sebagai tanda kasih sayang, perihatin, dan untuk mengeratkan silaturahim.
Nabi Muhammad SAW bersabda yang bermaksud: “Sesungguhnya setiap amalan itu bergantung kepada niat, dan sesungguhnya bagi setiap orang apa yang diniatkannya.” (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim)
Oleh itu, memberi salam ketika tiba di rumah orang yang diziarahi merupakan satu sunnah yang sangat digalakkan. Salam merupakan doa dan tanda hormat kepada tuan rumah.
Bersesuaian dengan firman Allah SWT dalam surah Am-Nur ayat 61 yang bermaksud: “Apabila kamu memasuki rumah-rumah, maka berilah salam kepada dirimu sendiri sebagai penghormatan yang ditetapkan di sisi Allah, yang diberkati lagi baik.”
Islam menekankan kepentingan privasi dan adab ketika memasuki rumah orang lain. Dalam masa yang sama, seseorang perlu meminta izin sebelum masuk ke rumah yang diziarahi.
Firman Allah SWT yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman! Janganlah kamu memasuki rumah yang bukan rumahmu sebelum kamu meminta izin dan memberi salam kepada penghuninya.” (Surah An-Nur ayat 27)
Selain dari itu, adab berziarah juga menuntut agar kita tidak mengganggu atau menyusahkan tuan rumah. Antaranya ialah dengan memilih waktu yang sesuai dan tidak terlalu lama beraada di rumah mereka.
Nabi Muhammad SAW bersabda: “Sessungguhnya sebahagian daripada hak seseorang Muslim ke atas Muslim yang lain ialah jika dia diundang, mak hendaklah dia memenuhinya, dan jika dia meminta nasihat, maka hendaklah diberi nasihat.” (Hadis riwayat Muslim)
TINGKAH LAKU TERPUJI SEMASA BERZIARAH
Membawa hadiah atau buah tangan semasa berziarah merupakan amalan yang baik kerana ia dapat menambah kasih sayang dan menunjukkan penghargaan kepada tuan rumah.
Sabda Nabi SAW: “Hendaklah kamu saling memberi hadiah, nescaya kamu akan berkasih sayang.” (Hadis riwayat Bukhari)
Antara amalan mulia ketika berziarah ialah mendoakan kebaikan buat tuan rumah. Ini termasuk mendoakan rezeki mereka, keberkatan rumah, dan kesejahteraan keluarga mereka.
Sebagimana sabda Nabi Muhammad SAW kepada seorang sahabat setelah dijamu: “Makanlah olehmu makanan mereka yang soleh, dan doakanlah mereka yang telah memberi kamu makan.” (Hadis riwayat Muslim)
Adab terakhir tetapi tidak kurang penting ialah menjaga rahsia rumah tangga orang lain.
Apa yang dilihat atau didengar sewaktu ziarah tidak boleh disebarkan.
Nabi SAW bersabda: “Majlis itu amanah.” (Hadis Riwayat Abu Daud) Ia memberi maksud apa yang dibincangkan atau dilihat dalam sesuatu majlis tidak wajar disebarkan tanpa keizinan.
Berziarah adalah amalan yang membawa banyak manfaat dari sudut ukhuwah dan keimanan.
Namun, adab-adabnya perlu dijaga agar tujuan ziarah tidak berubah menjadi sesuatu yang menyakitkan hati.
Dengan meneladani sunnah Nabi SAW dan berpegang kepada ajaran al-Quran, budaya berziarah akan kekal menjadi jambatan kasih sayang antara sesama umat Islam.
Marilah kita sama-sama menghidupkan semula amalan ini dengan penuh adab dan keikhlasan.

Saidina Umar Khattab sangat mengambil berat ke atas rakyatnya
Saidina Umar bin Al Khattab sangat memberatkan kehidupan rakyatnya.
Beliau mahukan rakyatnya kaya sedangkan kehidupannya sendiri miskin.
Beliau mahu rakyatnya kenyang sedangkan perut beliau sendiri berlapar.
Sedangkan beliau mampu untuk hidup kaya raya kerana ekonomi kerajaan Islam ketika itu sangat kukuh.
Kerajaan Islam di bawah pemerintahan Saidina Umar bin Al Khattab adalah sebuah kerajaan yang sangat kaya.
Namun kehidupan khalifahnya tidak ubah seperti orang miskin. Keadaan inilah yang sangat dikagumi oleh setiap orang.
Abdullah bin Abbas pernah bercerita, “Pada suatu hari, Umar bin Khattab memanggil aku. Maka aku pun memenuhi panggilannya.
Ketika aku menemuinya, aku dapati di hadapannya terdapat satu hamparan dari kulit yang di atasnya terdapat emas-emas bertaburan seperti jerami.
Umar berkata, “Kemarilah, bahagikanlah (emas-emas) ini kepada kaummu. Allah Maha Mengetahui kenapa Dia menjauhkan (emas-emas) ini dari Nabi-Nya dan dari Abu Bakar, lalu memberikannya padaku. Aku tidak tahu apakah ini akibat baik untukku atau akibat yang buruk”. Maka aku pun mengasingkan emas-emas itu. Tiba-tiba aku terdengar suara tangisan. Ternyata Umar yang sedang menangis sambil berkata, “Tidak, demi Zat yang jiwaku berada di dalam genggamanNya, Dia tidak menahannya dari Nabi dan dari Abu Bakar kerana menginginkan keburukan bagi mereka dan Dia juga tidak memberikannya kepada Umar kerana menginginkan kebaikan untuknya!”
Telah diriwayatkan bahawa pada suatu hari, anak Saidina Umar bin Al Khattab iaitu Ummul Mukminin Saidatina Hafsah datang menemui Saidina Umar bin Al Khattab.
Saidatina Hafsah tidak tahan melihat ayahnya yang hidup sangat sederhana dan terlalu bersikap zuhud.
Lantas Saidatina Hafsah berkata kepada ayahnya, “Allah telah menganugerahkan kebaikan dan melapangkan rezeki untuk ayah. Alangkah baiknya sekiranya ayah memakan makanan yang lebih enak dari ini dan mengenakan pakaian yang lebih bagus dari pakaian ini?” Maka Saidina Umar bin Al Khattab pun menjawab, “Aku akan membuatmu menjadi hakim untuk menghakimi dirimu sendiri”.
Setelah itu, Saidina Umar bin Al Khattab menceritakan tentang kehidupan susah yang pernah dialami oleh Rasulullah.
Saidina Umar bin Al Khattab terus menceritakan tentang perihal kehidupan baginda hingga membuat Saidatina Hafsah menitiskan air mata.
Kemudian, Saidina Umar bin Al Khattab berkata, “Aku mempunyai dua orang sahabat yang berjalan di satu jalan. Jika aku menempuh jalan yang susah, aku berharap semoga aku bertemu dengan mereka berdua dengan kehidupan yang makmur di negeri akhirat kelak”. (Riwayat Ahmad)
Oleh Hanzalah Azman