
KUALA LUMPUR: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata amalan membaca mampu membentuk masyarakat yang lebih matang dan berfikiran luas dalam menghadapi cabaran dunia yang semakin kompleks.
Menerusi hantaran di laman Facebook, beliau berkata buku bukan sahaja menjadi sumber ilmu, malah mendidik masyarakat supaya lebih sabar berfikir dan bijaksana dalam membuat penilaian.
“Buku mengajar kita untuk lebih sabar berfikir, lebih matang menilai dan tidak mudah tenggelam dalam budaya menghukum atau sensasi yang singkat usianya.
“Insya-Allah, esok saya akan meluncurkan Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2026 sebagai tanda dukungan berterusan terhadap budaya ilmu dan pembacaan dalam kalangan rakyat, khususnya generasi muda,” kata beliau.
Perdana Menteri berkata beliau mengambil kesempatan cuti Aidiladha semalam untuk membaca beberapa buku kegemaran daripada pelbagai bidang, termasuk sastera sambil merenung perjalanan zaman yang semakin mencabar.
Menerusi video yang dikongsikan dalam hantaran itu, Anwar turut membacakan beberapa puisi berkaitan perjuangan beliau serta ketabahan isterinya, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, dalam mendepani cabaran ketika era Reformasi.
PBAKL 2026 ke-43 bakal berlangsung dari 29 Mei hingga 7 Jun di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL). – Bernama