SIMANGGANG: Amalan kunjung mengunjung ketika musim perayaan di Sarawak merupakan tunjang perpaduan yang jitu bagi jaminan keharmonian antara kaum di negeri ini.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata situasi tersebut berupaya menarik minat pelabur asing menanam modal dengan situasi perpaduan dan kestabilan politik di Sarawak.
“Saya amat teruja dengan kunjungan penduduk dari pelbagai lapisan masyarakat dan pelbagai kaum datang mengucapkan Selamat Hari Krismas kepada saya dan keluarga. Perayaan Hari Krismas sebahagian daripada perayaan besar di Malaysia yang disambut oleh umat Kristian.
“Saya mengharapkan perpaduan berkekalan di Bandar Simanggang amnya agar kesejahteraan dan kemakmuran dapat diwarisi oleh generasi akan datang yang menjadi pelapis pemimpin masa hadapan,” katanya.
Beliau berkata demikian semasa melakukan Majlis Rumah Terbuka Hari Krismas 2024 di kediamannya yang telah dihadiri seramai 3,000 pengunjung di sini semalam.
Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang berkata beliau begitu kagum dengan suasana perayaan di negeri ini kerana ia turut dinikmati bersama oleh kaum lain.
“Perjalanan sejarah jelas membuktikan pembangunan yang dikecapi hari ini adalah hasil daripada corak hidup masyarakat yang hidup saling menghormati, memahami dan bertolak ansur antara satu sama lain.
“Senario positif itu juga berkait rapat dengan suasana negara yang tenteram dengan rakyatnya terus menikmati kemakmuran.
“Untuk mengekalkan keamanan negara yang dihuni oleh masyarakat pelbagai kaum bukan mudah. Sebagai rakyat, kita patut bersyukur. Kekal dan tingkatlah perpaduan sedia ada,” tambah Harden.
Oleh Adi Saparman