PERHIMPUNAN Agung Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) dijadualkan berlangsung pada 14 hingga 16 Februari ini.
Ia adalah tahun pemilihan untuk tiga tahun sekali dalam parti teras Gabungan Parti Sarawak (GPS) itu tetapi tiga jawatan utama, iaitu Presiden, Timbalan Presiden dan Naib Presiden Kanan tidak dipertandingkan setelah menerima usul sebulat suara dari 82 cawangan parti seluruh negeri.
Ada sesetengah pihak mendakwa ‘demokrasi’ dalam PBB ‘mati’ apabila semua tiga jawatan utama parti tidak dicabar, dimenangi oleh penyandang tanpa bertanding sekali lagi.
Apakah benar dakwaan itu, sedangkan itulah suara dari akar umbi apabila semua 82 cawangan sebulat suara mahukan pendirian itu melalui usul yang dibentangkan pada mesyuarat perwakilan cawangan sebelum ini.
Apakah mereka ini mahu melihat PBB seperti apa berlaku dalam UMNO di Semenanjung hingga ada kes diheret ke mahkamah oleh satu pihak, ada pihak pula melempar pelbagai tuduhan gara-gara kempen keterlaluan merebut jawatan tertinggi dalam parti itu.
Akhirnya berlaku perpecahan, ada kelompok yang bertelagah keluar UMNO dan tubuh parti baharu.
Lihat bagaimana kedudukan UMNO sekarang, daripada parti Melayu terkuat kini kedudukan kerusi Parlimennya cuma 26, lebih tiga kerusi berbanding dimiliki GPS, iaitu 23.
Sebelum Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) lalu, UMNO memiliki 38 kerusi Parlimen dan pernah menguasai satu pertiga kerusi di Dewan Rakyat.
Oleh itu, ahli PBB perlu mengambil iktibar apa yang terjadi dalam UMNO.
Ahli PBB perlu berpegang kepada semangat konsensus dalam parti sejak penubuhannya.
Bagi anak muda terutama sayap belia PBB, iaitu untuk mereka yang berumur antara 18 hingga 28 tahun, yang buat julung kalinya hadir pada perhimpunan kali ini perlu tahu sejarah penubuhan parti.
Fahami betul-betul liku perjuangan dan pengorbanan pemimpin terdahulu.
Apabila membicarakan mengenai sejarah PBB, wajib mengetahui nama tokoh seperti Tun Datuk Patinggi Tuanku Bujang Tuanku Othman yang mengasaskan Parti Barisan Rakyat Jati Sarawak (Barjasa), Allahyarham Datuk Abang Mustapha Dato Bandar, pengasas Parti Negara Sarawak (Panas) dan mendiang Tun Temenggong Jugah Barieng yang menjadi penggerak utama bagi Parti Pesaka Anak Sarawak (Pesaka).
Parti BARJASA ditubuhkan pada 1961, kemudian bercantum dengan parti Panas yang ditubuhkan pada 1960, sekali gus melahirkan parti BUMIPUTERA pada 1968.
Pada 1973, parti Bumiputera pula bergabung dengan parti Pesaka dan ini menjadi Parti Pesaka Bumiputera Bersatu, iaitu parti PBB yang ada sekarang ini.
Bekas Setiausaha Agung PBB, Tan Sri Datuk Amar Leonard Linggi Jugah sebelum ini pernah menjelaskan bahawa muafakat atau konsensus antara pemimpin sayap Pesaka dan Bumiputeta dalam PBB inilah rahsia menjadikan PBB kuat sejak berzaman.
RAHSIA KEKUATAN
“Ini membuatkan PBB bertahan dan sukar digugat sehingga hari ini,” katanya yang juga anak kepada mendiang Tun Jugah dan ayah kepada Setiausaha Agung PBB sekarang, Dato Sri Alexander Nanta Linggi.
Menurut Leonard Linggi, konsensus dalam parti dicapai hasil rundingan mendiang Tun Jugah dengan Allahyarham Tun Datuk Patinggi Abdul Rahman Ya’kub apabila berunding untuk menggabungkan parti Pesaka dengan parti Bumiputera bagi membentuk PBB pada 1973.
“Saya adalah antara pemimpin dalam Pesaka berunding untuk mencantumkannya dengan parti Bumiputera bagi membentuk PBB. Yang lain ialah Sidi Munan, Pengarah Bayang dan Temenggong Oyong Lawai Jau,” katanya.
Maka dalam pemilihan semasa perhimpunan agung parti hingga sekarang, konsensus itu berterusan dan penuh persefahaman antara sayap Bumiputera dan Pesaka.
Malah tiada pertembungan secara langsung dalam pemilihan antara kedua-dua sayap ini kerana masing-masing ada saluran, sekali gus berjaya mengelak perpecahan atau unsur-unsur perkauman.
Kita lihat susun atur antara sayap Bumiputera dan Pesaka apabila baru-baru ini diumumkan tiga jawatan utama dalam parti tidak dipertandingkan pada Perhimpunan Agung kali ini.
Ini termasuk jawatan Presiden parti yang disandang oleh Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg.
Turut tidak dicabar ialah dua Timbalan Presiden, iaitu Datuk Amar Douglas Uggah Embas (bagi sayap Pesaka) dan Datuk Amar Awang Tengah Ali Hassan, mewakili sayap Bumiputera.
JANGKAAN SAINGAN
Dua Naib Presiden Kanan PBB, iaitu Dato Sri Fadillah Yusof (Bumiputera) dan Dato Sri Dr Stephen Rundi Utom (Pesaka) juga menang jawatan itu tanpa bertanding.
Setiausaha Agung PBB, Dato Sri Alexander Nanta Linggi berkata kesemua 82 cawangan PBB sebulat suara mengekalkan pemegang jawatan utama itu tanpa bertanding.
Bagaimanapun, saingan dijangka berlaku bagi pemilihan tujuh jawatan Naib Presiden PBB dan 30 Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MKT).
Kini, jawatan Naib Presiden bagi sayap Bumiputera disandang Dato Sri Julaihi Narawi, Datuk Dr Annuar Rapa’ee, Datuk Dr Abdul Rahman Junaidi dan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah.
Naib Presiden parti bagi sayap Pesaka pula ialah Datuk Gerawat Gala, Datuk Roland Sagah Wee Inn dan Dato Gerald Rentap Jabu.
Turut dijangka menjadi rebutan ialah 16 kerusi MKT PBB bagi sayap Bumiputera dan 14 jawatan MKT yang diperuntukkan untuk sayap Pesaka. Pada perhimpunan agung parti tiga tahun lalu, tiada pertandingan untuk 14 jawatan MKT sayap Pesaka tetapi saingan sengit berlaku untuk 16 jawatan MKT sayap Bumiputera.
Selamat bersidang kepada 3,213 perwakilan dan pemerhati yang terdiri daripada Badan Induk, Pergerakan Wanita, Pergerakan Pemuda dan Pergerakan Belia.
- Penulis adalah Penasihat Editorial Eksekutif Utusan Sarawak.