DEBAK: Tiga individu terselamat selepas kereta Perodua Alza yang dinaiki terbabit dalam kemalangan kendiri sebelum terbalik dan terbakar di tepi Lebuh Raya Pan Borneo, dekat sini, petang ini.
Menurut kenyataan media Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 2.01 petang.
Pasukan dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Betong kemudian bergerak ke lokasi dengan jarak kira-kira 35 kilometer dan tiba pada 2.26 petang.
Setibanya pasukan bomba di lokasi, didapati sebuah Perodua Alza telah terbabit dalam kemalangan kendiri sebelum terbalik di tepi jalan dan terbakar.
Bagaimanapun, kesemua tiga mangsa dilaporkan selamat dan telah dibawa oleh Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) ke Klinik Kesihatan Debak untuk mendapatkan pemeriksaan.

Menurut kenyataan itu, ketika pasukan bomba tiba di lokasi, kenderaan berkenaan telah terbakar hampir keseluruhannya. Pasukan operasi diketuai PBK II Prangka Kudang bersama lima anggota dengan sebuah jentera Fire Rescue Tender (FRT).
Operasi pemadaman dilakukan menggunakan satu aliran salur bantu mula bagi mengawal dan memadam kebakaran yang berlaku pada kenderaan terbabit.
Kebakaran turut merebak ke kawasan belukar di sekitar lokasi kemalangan, namun berjaya dikawal dan dipadamkan sepenuhnya oleh pasukan bomba.
Kebakaran dilaporkan berjaya dikawal pada 2.35 petang sebelum operasi ditamatkan sepenuhnya pada 2.45 petang.
Kesemua tiga mangsa disahkan selamat dan tiada kemalangan jiwa dilaporkan dalam kejadian tersebut.
Pihak bomba kemudian memastikan kawasan kejadian berada dalam keadaan selamat sebelum operasi ditamatkan.
Oleh Adi Safarman





