Alvarez akui Argentina perlu ‘menderita’ sebelum singkir Switzerland

Facebook
X
LinkedIn
WhatsApp
Telegram
PENYERANG Argentina, Julian Alvarez, meraikan jaringan gol kedua pasukannya ketika aksi suku akhir kejohanan bola sepak Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Switzerland di Stadium Kansas City, Kansas City. Foto AFP

KANSAS CITY, Amerika Syarikat: Penyerang Argentina, Julian Alvarez, berkata pasukannya perlu “tahu bagaimana untuk menderita” selepas mengharungi satu lagi ujian getir sebelum menewaskan Switzerland yang beraksi dengan 10 pemain 3-1 pada aksi suku akhir Piala Dunia selepas masa tambahan, pagi tadi (waktu Malaysia).

Penyerang Atletico Madrid itu menjaringkan gol kedua Argentina yang menjadi penentu kemenangan pada minit ke-112 di Kansas City, sekali gus mematahkan tentangan sengit pasukan Eropah itu.

Switzerland bertahan dengan penuh disiplin selepas Breel Embolo dilayangkan kad merah pada babak kedua apabila menerima kad kuning kedua kerana melakukan simulasi.

Namun, Alvarez akhirnya memecahkan kebuntuan menerusi rembatan lencong menarik ke penjuru atas gawang sebelum Lautaro Martinez menambah gol ketiga pada penghujung perlawanan.

Kemenangan itu menyusuli kejayaan sukar Argentina menewaskan Cape Verde 3-2 selepas masa tambahan pada pusingan 32 terbaik, selain kebangkitan dramatik menewaskan Mesir 3-2 dalam satu lagi perlawanan.

“Sudah tentu kami perlu menderita. Kami perlu tahu bagaimana untuk mengharunginya. Begitulah corak perlawanan yang kami lalui ketika ini,” kata Alvarez selepas menjaringkan gol pertamanya dalam kejohanan itu sekali gus dipilih sebagai pemain terbaik perlawanan.

PASUKAN Argentina meraikan jaringan gol kedua pasukan ketika aksi suku akhir Piala Dunia 2026 antara Argentina dan Switzerland di Stadium Kansas City, Kansas City, Missouri. Foto AFP

“Semua lawan yang kami hadapi bermain dengan sangat baik. Masih ada perkara yang perlu kami perbaiki, tetapi dalam Piala Dunia, setiap perlawanan mempunyai cabarannya dan semua pasukan cukup kuat.”

Alvarez, 26, berkata beliau bangga apabila juara dunia tiga kali itu berjaya mara ke separuh akhir ketika memburu gelaran Piala Dunia buat kali kedua berturut-turut.

Anak buah Lionel Scaloni akan berdepan England di Atlanta pada 3.00 pagi Khamis ini (waktu Malaysia) dengan pemenangnya bakal bertemu Perancis atau Sepanyol pada aksi final.

“Kami tahu England memiliki barisan pemain yang hebat. Mereka sebuah pasukan kebangsaan yang kuat dan sedang mempamerkan prestasi cemerlang.

“Namun, bagi kami sekarang, perkara paling penting ialah mendapatkan semula kecergasan,” katanya.- AFP