
KUCHING: Kepulangan Viviana Lin Winston, pemenang Miss Grand Malaysia (MGM) 2025, disambut penuh emosi dan kebanggaan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching, petang tadi.
Anak jati Sarawak berusia 25 tahun itu yang lebih dikenali sebagai Vivi, melangkah keluar dari balai ketibaan diiringi alunan Taboh Iban, menghangatkan suasana sambutan yang dihadiri ahli keluarga, rakan-rakan serta penyokong yang membawa bunga dan kain tradisional sebagai tanda penghormatan.
Turut bersama beliau ialah Pengarah Kebangsaan MGM, Melisha Lin, yang juga penyandang gelaran Miss Grand Malaysia 2024.
Suasana penuh haru dan bangga jelas terpancar apabila Viviana memeluk ahli keluarga serta individu tersayang yang menantinya sejurus tiba.
Viviana mencipta sejarah sebagai wanita Iban pertama yang menjuarai pertandingan ratu cantik Miss Grand Malaysia, sekaligus membawa inspirasi kepada generasi muda, khususnya wanita Borneo
Beliau akan mewakili Malaysia ke pentas Miss Grand International yang dijadual berlangsung di Bangkok, Thailand, pada Oktober ini.
Kemenangannya bukan sahaja mengangkat keindahan budaya dan warisan masyarakat Iban, malah memperkukuh kehadiran wanita Malaysia di pentas kecantikan antarabangsa.
Oleh Adele Rissa