
SARATOK: Ahli Lembaga Pelawat Hospital (ALPH) Hospital Saratok bersama Pusat Khidmat ADUN Kalaka dan Krian serta Persekutuan Perkumpulan Wanita Sarawak (PPWS) Cawangan Saratok telah menyantuni para pesakit di wad Hospital Saratok sempena sambutan Hari Krismas, semalam.
Pengerusi ALPH Hospital Saratok, Yusuf Trang berkata, program kebajikan tersebut dilaksanakan berasaskan perayaan keagamaan utama dan dianjurkan sebanyak empat kali setahun, meliputi sambutan Krismas, Hari Raya Aidilfitri, Gawai Dayak dan Tahun Baharu Cina.

Menurut beliau, penganjuran program itu bertujuan menyantuni pesakit yang sedang menerima rawatan selain menceriakan mereka, khususnya ketika musim perayaan yang lazimnya diraikan bersama keluarga.
“Selalunya program ini dilaksanakan dengan kerjasama dan sokongan wakil-wakil rakyat yang membantu membiayai sumbangan untuk diserahkan kepada pesakit di hospital ini,” katanya.
Pada sambutan Krismas kali ini, Yusuf merakamkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri serta ADUN Krian, Friday Belik atas sumbangan yang diberikan bagi pembelian bakul makanan untuk diagihkan kepada pesakit di wad Hospital Saratok.

Beliau menzahirkan rasa terima kasih atas komitmen tinggi kedua-dua wakil rakyat tersebut terhadap kebajikan masyarakat di Saratok, selain menghargai penglibatan aktif PPWS Cawangan Saratok yang turut menjayakan program berkenaan.
“Insya-Allah, pada sambutan Tahun Baharu Cina tahun hadapan, program seperti ini akan diteruskan lagi demi manfaat dan kesejahteraan para pesakit,” tambahnya.
Dalam pada itu, Setiausaha Kehormat Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Cawangan Kalaka, Gapor Ahmad hadir mewakili ADUN Kalaka ke program tersebut, manakala Dom Silang hadir mewakili ADUN Krian.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri turut merakamkan penghargaan kepada Pengerusi dan ahli ALPH Hospital Saratok kerana menjemput Pusat Khidmat ADUN Kalaka untuk bersama-sama menyumbang serta menyertai program yang disifatkannya amat bermakna.
Beliau berkata, program kebajikan seumpama itu mampu memberikan keceriaan dan sokongan moral kepada para pesakit yang sedang menjalani rawatan, sekali gus memperlihatkan semangat keprihatinan serta perpaduan masyarakat berbilang kaum dan agama di Saratok.
Oleh Adi Safarman