
Khairul Sapardin Mohamad
MIRI: Dewan Usahawan Bumiputera Sarawak (DUBS) Cawangan Miri memandang serius peningkatan iklan haram yang menawarkan pinjaman tidak sah, terutamanya yang menyasarkan usahawan kecil dan mikro yang sedang bergelut dalam keadaan ekonomi mencabar.
DUBS Miri menasihatkan para usahawan agar tidak terpedaya dengan tawaran pinjaman segera daripada pihak yang tidak berdaftar atau disyaki sebagai ‘along moden’, kerana ia bukan sahaja melanggar undang-undang, malah mengundang risiko keselamatan serta beban kewangan jangka panjang.
Menurut Setiausaha Kehormat DUBS Cawangan Miri, Khairul Sapardin Mohamad, ramai usahawan baharu mudah terjebak dalam situasi tersebut akibat desakan untuk mendapatkan modal dengan cepat.
“Namun, jalan pintas seperti ini hanya akan membawa masalah dalam jangka masa panjang.
“Kami mahu para usahawan membuat keputusan bijak dan mendapatkan nasihat daripada saluran yang sah dan diyakini,” katanya ketika ditemui di sini.
Beliau turut menyuarakan kebimbangan terhadap keberkesanan proses pembiayaan sedia ada yang menurutnya masih belum mesra kepada usahawan mikro.
“Kami menyeru pihak bank, agensi pembiayaan dan pemberi geran bantuan agar meneliti semula proses permohonan yang ada.
“Ramai usahawan gagal bukan kerana tidak layak, tetapi kerana dokumentasi dan prosedur yang terlalu kompleks,” jelasnya.
Sehubungan itu, DUBS Miri menggesa agar lebih banyak program bantuan dan geran diperkenalkan, khususnya untuk golongan usahawan B40, belia dan wanita.
Katanya, langkah ini penting untuk mengurangkan kebergantungan terhadap pinjaman tidak sah serta membantu membina daya tahan perniagaan tempatan.
“DUBS bersedia menjadi jambatan antara usahawan, pihak bank, agensi pembiayaan dan agensi kerajaan bagi memastikan maklumat, peluang serta bantuan sampai kepada kumpulan sasaran dengan cepat dan berkesan.
“DUBS percaya bahawa dengan sokongan menyeluruh daripada semua pihak, kita mampu membentuk ekosistem keusahawanan yang lebih selamat, progresif dan inklusif demi kemajuan ekonomi Sarawak,” ujarnya.
Oleh Liong Chail Ling