
SANTA CLARA, Amerika Syarikat: Pemain Paraguay, Miguel Almiron mencipta sejarah bola sepak yang tidak diingini sebentar tadi selepas menjadi pemain pertama dilayangkan kad merah kerana menutup mulut ketika berdepan pertikaian di atas padang di bawah peraturan baharu FIFA.
Bekas pemain Newcastle itu diperintah keluar padang pada masa kecederaan separuh masa pertama selepas dilihat menutup mulut ketika dipercayai mengeluarkan kata-kata kepada pemain Turkiye, Mert Muldur dalam aksi Piala Dunia Kumpulan D di Santa Clara, California.

Paraguay ketika itu sedang mendahului 1-0 sebelum Almiron dibuang padang selepas semakan Video Bantuan Pengadil (VAR).
FIFA pada April lalu mengumumkan bahawa pemain yang menutup mulut ketika berdepan lawan akan dilayangkan kad merah.
Inisiatif yang dilaksanakan di Piala Dunia itu merupakan sebahagian daripada usaha lebih luas untuk membanteras perkauman, kata FIFA.

Peraturan baharu tersebut menyusuli kontroversi awal tahun ini apabila pemain sayap Benfica, Gianluca Prestianni dituduh mengeluarkan kata-kata berbaur perkauman terhadap bintang Real Madrid, Vinicius Junior dalam aksi Liga Juara-Juara pada Februari.
Prestianni menafikan dakwaan tersebut namun kemudian digantung enam perlawanan dengan tiga daripadanya ditangguhkan atas kesalahan “tingkah laku homofobik.”
Presiden FIFA, Gianni Infantino merupakan penyokong utama undang-undang baharu itu.
“Jika anda tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan, anda tidak perlu menutup mulut apabila bercakap. Semudah itu,” kata Infantino pada Mac. – AFP