KUALA LUMPUR: Allianz General Insurance Company (Malaysia) Bhd (Allianz General) baru-baru telah memperkenalkan semula “Smart Home Cover”, insurans rumah modular yang telah dipertingkatkan kepada komponen ‘HomeFix’.
Ketua Pegawai Jualan Allianz General, Horst Habbig (gambar) dalam satu persidangan media maya semasa e-pelancaran melalui laman Facebook Allianz Malaysia baru-baru ini berkata, Smart Home Cover memiliki pelbagai komponen yang boleh disesuaikan dengan keperluan pemegang polisi seperti khidmat penyahjangkitan rumah.
“Smart Home Cover kami bertujuan menangani semua isu insurans perumahan, terutama dalam masa yang tidak menentu seperti pandemik Covid-19.
“Polisi Smart Home Cover meliputi pembasmian kuman di rumah jika ada anggota keluarga yang didiagnosis dengan virus,” katanya.
Syarikat itu dalam satu kenyataan hari ini mengumumkan bahawa ia telah menjual lebih daripada 130,000 polisi Smart Home Cover sejak Julai 2017.
Sekarang ini, polisi tersebut telah diperkenalkan semula dengan perlindungan yang lebih baik, yang kemudahannya merangkumi pembaikan rumah, kawalan serangga perosak dan perkhidmatan penyahjangkitan.
Smart Home Cover mempunyai lima komponen, iaitu ‘Pemilik Rumah’ (bangunan), ‘Isi Rumah’, ‘Perlindungan Pinjaman Pajakan’, ‘Insurans Tuan Rumah ‘ dan ‘HomeFix’.
Komponen ‘HomeFix’ akan membolehkan pemegang polisi mencari perkhidmatan dengan menggunakan rakan Allianz seperti Recommend.my dan Kaodim.com untuk khidmat kontraktor bagi pembaikan segera, termasuk kerja-kerja paip dan baik pulih penyaman udara, sekali setahun.
“Modul HomeFix ini menawarkan tiga opsyen berharga antara RM50 dan RM100 setahun, bergantung kepada pelan yang anda ambil,” kata Horst.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Allianz Malaysia, Zakri Khir berkata, Smart Home Cover yang telah dipertingkatkan bukan sahaja menyediakan pemilik rumah perlindungan daripada kerosakan, tetapi turut menawarkan elemen penggunaan yang akan memberi manfaat kepada mereka.
“Adalah penting bagi anda mendapatkan polisi insurans rumah yang benar-benar menepati keperluan. Polisi Smart Home Cover sekarang ini adalah lebih fleksibel dan dilengkapi dengan komponen ketara yang membolehkan pelanggan kami merasai kelebihan mempunyai polisi insurans rumah,” katanya.
“Komponen HomeFix yang dipertingkatkan, akan memudahkan pelanggan kami untuk mendapatkan pembaikan atau perkhidmatan tanpa perlu mengeluarkan wang tunai. Ia adalah mudah dan cepat,” kata Zakri.- Bernama