
KUALA LUMPUR: Beregu lelaki negara Kang Khai Xing-Aaron Tai mencipta sensasi tersendiri dengan menyingkirkan pasangan di ranking keempat dunia dari India, Satwiksairaj Rankireddy-Chirag Shetty pada pusingan pertama saingan All England 2026, hari ini.
Khai Xing-Aaron yang kini menghuni ranking ke-33 dunia menampilkan prestasi positif untuk mencatat kemenangan straight set 23-21 21-12 pada aksi yang berlangsung selama 42 minit di Utilita Arena Birmingham.
Set pembukaan berlangsung sengit apabila kedua-dua beregu saling berbalas mata sebelum ketenangan pasangan Malaysia pada detik genting membolehkan mereka menguasai set pertama.
Juara remaja dunia 2024 itu yang membuat penampilan sulung dalam kejohanan berprestij berkenaan seterusnya memperkemas corak permainan pada set kedua untuk menamatkan cabaran Satwiksairaj-Chirag dengan kemenangan selesa 21-12.
Menanti Khai Xing-Aaron di pusingan kedua sama ada pasangan China, Chen Bo Yang-Liu Yi atau Zhi Wei He-Huang Jui Hsuan dari Taiwan.
Turut mara beregu campuran profesional negara Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang menumpaskan Callum Hemming-Estelle Van Leeuwen dari England, 21-14, 21-12 dan akan bertemu pilihan kedua kejohanan Jiang Zhen Bang-Wei Ya Xin dari China untuk merebut slot suku akhir.
Soon Huat-Shevon hanya pernah menang sekali dalam 10 pertemuan menentang pasangan China berkenaan, iaitu di Terbuka China 2024.
Sementara itu, nasib berbeza buat satu lagi beregu lelaki negara Nur Azriyn Ayub-Tan Wee Kiong yang tumbang kepada pasangan Taiwan Chiu Hsiang Chieh-Wang Chi Lin, 18-21 dan 14-21 dalam pertemuan ketiga mereka. – Bernama