
SINGAPURA: Pengembara yang memandu melalui pusat pemeriksaan darat Singapura dan Malaysia semasa cuti sekolah pada Jun akan datang — khususnya sepanjang hujung minggu Aidiladha dari 6 hingga 9 Jun — dijangka berdepan ‘aliran trafik yang sangat sesak’ dan tempoh menunggu yang panjang.
Penguasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan (ICA) Singapura berkata para pengembara perlu menjangkakan masa menunggu yang lebih lama bagi urusan imigresen di pusat pemeriksaan Tuas dan Woodlands.
“ICA menasihatkan pengembara agar memantau keadaan trafik di pusat pemeriksaan darat sebelum memulakan perjalanan,” menurut kenyataan yang dikeluarkan pada Jumaat.
ICA turut mencadangkan agar mereka yang perlu melakukan perjalanan pada waktu puncak mempertimbangkan menggunakan perkhidmatan bas rentas sempadan bagi mengelakkan kesesakan.
“Kami mengharapkan kerjasama pengembara untuk mematuhi arahan pegawai ICA, mematuhi peraturan trafik serta mengekalkan disiplin lorong,” menurut ICA.
Agensi itu turut memaklumkan bahawa semasa cuti panjang sempena Hari Wesak dari 8 hingga 13 Mei lalu, lebih tiga juta pengembara melintasi kedua-dua pusat pemeriksaan darat.
Jumlah tertinggi direkodkan pada 9 Mei, apabila lebih 546,000 pengembara melepasi pemeriksaan imigresen dalam satu hari.
Bagi mereka yang memandu ketika waktu puncak, tempoh menunggu untuk pemeriksaan imigresen mencecah sehingga tiga jam, menurut ICA.– Bernama