
BEIJING: Peranan rel China-Laos sebagai ‘saluran emas’ semakin terserlah apabila perkhidmatan pengangkutan penumpang dan kargo yang dikendalikan menerusi rel berkenaan terus mencatatkan peningkatan pada separuh pertama tahun ini.
Menurut statistik stesen pemeriksaan pintu sempadan Mohan di Provinsi Yunan, stesen kereta api sempadan Mohan mencatat sebanyak 145,000 perjalanan pengembara dari 91 negara dan wilayah pada separuh pertama 2025, meningkat 16 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.
Antaranya pengembara dari Laos, Thailand dan Malaysia merupakan yang paling banyak melakukan perjalanan melalui pintu sempadan di stesen kereta api Mohan, iaitu hab utama rel China-Laos.
Dari segi hantaran kargo, tren Ekspres Lancang-Mekong yang beroperasi antara Kunming dan Vientiane dikendalikan secara lebih efisien dengan masa pengangkutan kini dipendekkan kepada 26 jam.
Sementara itu, hantaran kargo menerusi perkhidmatan logistik rangkaian sejuk China-Laos-Thailand hanya memerlukan masa 40 jam.
Pada separuh pertama tahun ini, import dan eksport barangan melalui rel China-Laos mencatat peningkatan sembilan peratus dengan jumlahnya melebihi 3.3 juta tan.
Barangan kargo yang dikendalikan melalui perkhidmatan rel itu semakin bertambah, menyaksikan kategorinya meningkat kepada lebih 3,000 jenis merangkumi elektronik, fotovolta, komunikasi dan automobil, berbanding hanya 10 jenis pada awal pembukaan.– Bernama – CMG