KUALA LUMPUR: Pelaburan langsung asing (FDI) ke Malaysia dijangka pulih pada tahun depan sejajar dengan pemulihan ekonomi global dan permintaan yang meningkat disokong oleh pelbagai dasar, inisiatif dan pelan yang ditetapkan oleh kerajaan untuk menarik dana ke negara ini.
Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA), Datuk Azman Mahmud berkata, Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) menjadi antara banyak inisiatif yang akan menyokong proses pemulihan.
“Dengan ekonomi pulih dan pakej PENJANA (dilaksanakan), yang akan menjadi pemacu kepada ekonomi untuk kembali normal, jumlah pelaburan akan kembali kepada tahap yang ketara,” katanya kepada pemberita selepas menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) dengan Standard Chartered Malaysia di sini semalam.
Bagi tahun ini, katanya jumlah FDI tidak akan sama dengan 2019 berikutan pandemik Covid-19 yang telah menjejaskan bukan hanya Malaysia tetapi negara di seluruh dunia.
Pelaburan yang diluluskan dalam sektor pembuatan, perkhidmatan dan utama pada 2019 berjumlah RM207.9 bilion.
Menurut Persidangan PBB Mengenai Perdagangan dan Pembangunan (UNCTAD), aliran FDI global dijangka susut antara 30 dan 40 peratus pada 2020/21.
Pada akhir Mac, Tabung Kewangan Antarabangsa mengumumkan bahawa pelabur telah mengeluarkan US$83 bilion dari negara-negara membangun sejak awal krisis Covid-19, aliran keluar modal terbesar yang pernah dicatatkan.
Azman berkata agensi itu menjangka kerajaan akan mengumumkan lebih banyak dasar jangka panjang mengenai pelaburan dan ekonomi — seperti Rancangan Malaysia Ke-12 — yang akan menggariskan langkah ke hadapan untuk ekonomi negara.
“(Selepas ini) jumlah pelaburan akan kembali ke tahap yang ketara,” katanya.
Di bawah MoU itu, kedua-dua pihak akan bekerjasama untuk menarik pelaburan global yang disasarkan dalam beberapa sektor, termasuklah pelaburan berteknologi, bernilai dan berimpak tinggi seperti elektrik dan elektronik, jentera dan peralatan, aeroangkasa serta tenaga boleh baharu dan teknologi pengguna.
Mengenai perang perdagangan antara Amerika Syarikat (AS) dan China, Azman berkata banyak perniagaan akan melihat kepada alternatif untuk melindungi operasi mereka.
“Terdapat rasionalisasi dalam rangkaian rantaian bekalan.
“Saya tidak fikir syarikat multinasional akan menutup operasi mereka di China atau AS tetapi mereka akan mencari alternatif, dan Malaysia berada dalam kedudukan yang baik untuk mengalu-alukan pelabur ini jika negara berdaya saing untuk mereka menjalankan perniagaan di sini,” katanya.
Azman berkata walaupun terdapat persaingan dari negara jiran, Malaysia mempunyai kekuatannya yang tersendiri, seperti yang dapat dilihat daripada aliran masuk pelaburan yang berterusan dan pelabur sedia ada yang terus mengembangkan operasi mereka di Malaysia.
“Sebanyak 50 hingga 60 peratus daripada pelaburan kita merupakan pengembangan perniagaan atau kepelbagaian, menunjukkan persekitaran pelaburan dan perniagaan di Malaysia yang amat kondusif,” katanya. – Bernama