KUALA LUMPUR: Aliran keluar asing bersih yang berterusan dalam pasaran ekuiti mencerminkan pelabur luar pesisir mengambil strategi defensif dan beralih kepada aset tanpa risiko seperti sekuriti kerajaan.
Ketua Ekonomi Bank Islam Malaysia Bhd, Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata, aliran keluar dana asing susut sedikit kepada RM734.18 juta antara Isnin dan Khamis pada minggu ini daripada RM736.28 juta dalam tempoh sama minggu lepas.
Purata penyertaan untuk dana asing pada minggu ini sebanyak 15.86 peratus dalam tempoh empat hari pertama minggu ini berbanding 45.47 peratus dalam tempoh sama minggu lepas.
Sementara itu, institusi tempatan mencatatkan belian bersih lebih tinggi sebanyak RM611.27 juta antara 12 dan 14 Mei berbanding RM397.46 juta sebelum ini daripada RM397.46 juta minggu ke minggu, manakala belian bersih pelabur runcit tempatan pada minggu ini merosot kepada RM122.91 juta daripada RM266.82 juta.
Beliau berkata data ekonomi yang lemah terus menguasai pasaran minggu ini, serta perbincangan mengenai kemungkinan wujud semula kes Covid-19 di negara-negara tertentu seperti China dan Korea Selatan.
“Syarikat berkaitan kesihatan (tempatan) menyaksikan kenaikan harga saham mereka yang ketara pada minggu ini, mendorong FBM KLCI melebihi paras psikologi sebanyak 1,400 mata. Didapati pasaran berusaha untuk melepasi 1,400 mata, mencerminkan premium risiko yang lebih tinggi,” katanya kepada Bernama.
Pada 13 Mei, FBM KLCI ditutup tinggi 17.2 mata atau 1.25 peratus kepada 1,397.13, manakala jumlah dagangan saham di Bursa Malaysia ditutup tinggi pada paras tertinggi sepanjang masa sebanyak 9.59 bilion saham, berikutan kebimbangan mengenai kewujudan semula kes Covid-19 menguasai sentimen pasaran saham dunia.
Kebimbangan mengenai kewujudan semula pandemik itu membawa kepada belian saham dalam syarikat berkaitan penjagaan kesihatan seperti pengeluar sarung tangan getah dan pengusaha hospital.
Top Glove Corp Bhd meningkat minggu ini, menempatkan pengeluar sarung tangan terbesar dunia itu di kedudukan teratas dalam kalangan lima saham utama di FBM KLCI. Saham di kedudukan utama pada masa ini ialah Public Bank Bhd, diikuti Tenaga Nasional Bhd, Malayan Banking Bhd dan CIMB Group Holdings Bhd.
Menurut data daripada Bloomberg, Top Glove melonjak 49 peratus dalam tempoh empat hari berturut-turut minggu ini, selepas broker meningkatkan anggaran saham mereka setinggi RM13.30.
Mohd Afzanizam berkata kritikan berterusan terhadap China oleh Presiden AS Donald Trump berhubung penularan Covid-19 amat tidak baik kepada ekonomi global.
“Ini boleh mencetuskan semula pertikaian perdagangan, yang telah melanda ekonomi sejak tahun lepas,” katanya.
Mengenai masa depan, Penganalisis Pasaran Kanan OANDA Jeffrey Halley berkata acara utama yang dihadapi Malaysia ialah persidangan Parlimen pada Isnin.
Beliau berkata prospek politik menjadi isu utama yang disedari oleh semua pihak dan jika pemulihan perdagangan hilang rangsangan terutamanya dalam pasaran AS, ia akan memberi kesan kumulatif di seluruh dunia, dengan negara-negara membangun dijangka mengalami reaksi yang terlalu besar.
“Di tempat lain, jika pasaran terus mengambil kira pemulihan ekonomi global pada kadar yang kita telah lihat sejak beberapa minggu lepas, aliran keluar pelabur asing boleh berkurangan dan malah, sebaliknya,” katanya kepada Bernama. – Bernama