
HANGZHOU (China): Gergasi e-dagang China, Alibaba melancarkan versi naik taraf aplikasi Quark, pembantu kecerdasan buatan (AI) canggih yang dikuasakan oleh model penaakulan Qwen milik Alibaba, lapor Xinhua, semalam.
Quark merupakan perniagaan berorientasikan pengguna pertama Alibaba yang mengintegrasikan sepenuhnya model asas miliknya, menandakan pencapaian penting dalam strategi AI lebih meluas oleh syarikat itu.
Versi baharu Quark memperkenalkan keupayaan dipertingkatkan, termasuk chatbot AI, penyelidikan mendalam, penaakulan lanjutan dan pelaksanaan tugas, semuanya dalam antara muka mesra pengguna.
Direka bentuk untuk menyokong pelbagai fungsi, Quark memudahkan penyelidikan akademik, penyediaan dokumen, penjanaan imej, pembentangan, diagnostik perubatan, perancangan perjalanan dan penyelesaian masalah.
Ia membolehkan pengguna mengemukakan soalan kompleks berbilang bahagian serta menerima jawapan mendalam dan respons mengikut konteks secara langsung dalam enjin carian aplikasi itu.
“Versi baharu Quark ini hanyalah permulaan. Seiring dengan perkembangan keupayaan model kami, kami melihat Quark sebagai pintu masuk kepada pelbagai kemungkinan tanpa batas di mana pengguna dapat meneroka segalanya dengan AI,” kata Wu Jia, Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Quark merangkap Naib Presiden Kumpulan Alibaba.
Ketika mengumumkan keputusan kewangan terkininya, Kumpulan Alibaba mendedahkan rancangan untuk meningkatkan pelaburan dalam tiga bidang utama strategi AI dalam tempoh tiga tahun akan datang, iaitu infrastruktur AI dan pengkomputeran awan, pembangunan model asas serta aplikasi AI asli, dan integrasi AI merentasi perniagaan sedia ada syarikat itu.
“Kami percaya integrasi model AI berskala besar mempunyai potensi besar untuk meningkatkan keupayaan carian, produktiviti, penciptaan kandungan dan kecekapan di tempat kerja,” kata CEO Alibaba, Eddie Wu, dalam sesi panggilan keputusan kewangan syarikat baru-baru ini.
Dilancarkan pada 2016 sebagai pelayar laman sesawang yang dibangunkan dalam Kumpulan Alibaba, Quark kini telah berkembang menjadi platform perkhidmatan maklumat berasaskan AI yang terkemuka, dengan lebih 200 juta pengguna di China. – Bernama – Xinhua