Mungkin ramai tidak tahu, Kampung Jaie di sini antara bukti Sarawak mempunyai tokoh sejarah yang kini semakin terbuang daripada lipatan sejarah evolusi yang meledakkan revolusi intelektual sains Barat suatu ketika dahulu.
Ali Amit atau lebih dikenali sebagai Ali Wallace merupakan anak jati Kampung Jaie yang pernah menjadi pembantu kepada Alfred Russel Wallace dari tahun 1854 hingga 1858 iaitu pada usianya 15 tahun.
Berdasarkan sejarah, nama Alfred Russell Wallace mungkin asing bagi orang awam tetapi nama beliau sangat terkenal dalam kalangan komuniti saintifik terutama dalam bidang biologi dan zoologi.
Seperti Charles Darwin, Wallace membuat ekspedisi sendiri untuk menyokong teori dengan mengadakan ekspedisi penerokaan di Amazon dan sekitar nusantara termasuk di Tanah Melayu. Di sinilah beliau membuat penemuan berkenaan flora dan fauna yang kemudian menjadi asas kepada buku The Malay Archipelago by Alfred Rusell Wallace.
Pencapaian dan koleksi Alfred di Asia Tenggara tidak mungkin diperoleh tanpa bantuan orang-orang tempatan. Menjelajahi hutan, sungai dan gunung, berjalan dan berperahu selama bertahun-tahun, Wallace turut dibantu sepasukan pemandu, tukang masak, kru kapal, penangkap serangga dan haiwan, penembak burung, pelapah kulit dan lain-lain.
Dalam kalangan warga tempatan yang menjadi pembantu, individu yang paling dipercayai Wallace ialah Ali. Ali sangat istimewa kepada Wallace sehingga beliau menyebut nama Ali beberapa kali dalam autobiografinya, My Life: A Record of Events and Opinionskeranamenurut Wallace, Ali merupakan seorang pemuda yang sangat cerdas, disukai, dipercayai dan cekap.
Pada mulanya Ali merupakan tukang masak dan pembantu peribadi kepada Wallace selain membantu Wallace mempelajari bahasa Melayu. Ali juga mahir mengemudi perahu, maka beliau selalu mengikut Wallace mengumpul spesimen dan menembak burung.
Sambil berkerja beliau belajar menembak burung dan memproses spesimen, beliau turut mahir dalam menguruskan spesimen dan menjadi ketua kepada pembantu-pembantu Wallace.
Tugas-tugas menembak burung dan memproses spesimen diserahkan sepenuhnya kepada Ali sementara Wallace menumpukan perhatian kepada kajian serangga. Ali menangkap dan memproses sebahagian besar spesimen burung yang direkodkan oleh Wallace.
Inilah yang membawa kepada penemuan burung cenderawasih yang melonjakkan nama Wallace dalam dunia sains natural.
Menerusi buku Ali of the ‘Malay Archipelago’ His Life and Times, pengkaji Tom McLaughlin dan isterinya, Suriani Sahari berusaha menjelaskan dari mana asalnya dan apa yang berlaku kepada Ali Wallace setelah tidak menyertai penyelidikan Alfred Wallace dengan menggabungkan sumber sejarah lisan dan ilmiah.
Menurut buku tersebut, pencarian selama tujuh tahun menemui jawapan dan berjaya mengesahkan sejarah asal usul dan keberadaan kubur Ali Wallace iaitu di Kampung Jaie, di sini sekali gus menyangkal dakwaan bahawa ‘Ali Kasut’ bukanlah orang yang sama dengan Ali Wallace.
“Ali bin Amit dilahirkan sekitar tahun 1840 dan merupakan anak bongsu dari lima adik beradik iaitu Pangiran Paduka Tuan Chek, Pangiran Sri Tuan, Putad atau dikenali sebagai Panglima Putad, Pengiran Sri Tuan, Seman atau Panglima Seman, Pengiran Dang Lon dan Pangiran Sri Tuan, Ali atau Ali Wallace.
“Ali belajar perihal perubatan hutan daripada saudaranya iaitu Panglima Putad lalu pergi ke Kuching untuk bekerja dengan Rajah, Mr James Brooke. Ali kemudian dijaga oleh saudaranya, Seman yang juga dikenali sebagai Panglima Seman.
“Mengikut tulisan Charles Brooke dalam bukunya Ten Years in Sarawak, dia menganggap kebanyakan orang Melayu sebagai “teruk” kecuali Panglima Seman dan Panglima Putad,” kata Tom McLaughlin dan isterinya, Suriani Sahari dalam buku tersebut.
Oleh SYAMIMI HUSNA