LUNDU: “Baju pun sudah bertukar pergi Gabungan Parti Sarawak(GPS), tetapi selepas balik dari Kuala Lumpur, dia pusing kepala sepuluh kali, dia tukar fikiran.”
Itu kata Presiden Parti Demokratik Progresif (PDP), Dato Sri Tiong King Sing terhadap calon Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) yang mewakili Perikatan Nasional (PN) bagi kerusi Parlimen Saratok, Datuk Ali Biju.
Katanya, setelah beberapa kali berbincang dan terbaharu selepas pembubaran Parlimen, Ali Biju datang menemuinya semula untuk sanggup bertanding atas tiket Gabungan Parti Sarawak (GPS) melalui PDP tetapi terpaksa ditolak kerana sudah kesuntukan masa.
“Sebagai Presiden PDP, kita sudah beri cadangan dan sudah beritahu kepada rakyat. Calon-calon pun sudah mulakan kerja. Sekiranya calon mempunyai kekurangan, kita akan cuba perbaiki.
“Kita beri tunjuk ajar kepada calon tersebut. Tetapi sebagai Presiden parti, saya tidak dapat menukar calon pada saat akhir kecuali calon tersebut mempunyai masalah yang besar.
“Sebagai Presiden dan pemimpin, apa yang saya sudah cakap, saya akan lakukan. Saya mesti lunaskan apa yang telah diputuskan. Saya tidak boleh patah balik, kalau tidak siapa mahu percayakan GPS? Walau apapun yang terjadi, kita mesti tempuhi,” katanya ketika ditemui pemberita selepas majlis Sembang Santai Bersama Rakyat, di Dewan Serbaguna Kampung Pasir Hulu, Lundu di sini hari ini.
Beliau mendedahkan telah menawarkan kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) kepada Ali Biju sebelum ini, namun menolak pelawaan itu kerana dia mahukan kerusi Parlimen.
“Saya bersetuju dengan kemahuannya itu dan berhasrat untuk mencalonkan Ali Biju di kerusi Parlimen dan kerusi DUN (Krian) pula akan diberikan kepada orang lain ketika Pilihan Raya Negeri (PRN) Disember lalu.
“Selepas dia sudah berubah fikiran (untuk bertanding atas tiket BERSATU) saya memujuknya berkali-kali untuk tidak berubah fikiran, sehinggakan saya bagaikan pengemis merayu kepadanya,” katanya.
Ali Biju yang mempertahankan kerusi Saratok dicabar dua calon lain iaitu Giendam Jonathan Tait (GPS) dan Ibil Jaya (Bebas).
PDP adalah salah satu daripada empat parti komponen dalam gabungan GPS bersama Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB), Parti Rakyat Bersatu Sarawak (SUPP) dan Parti Rakyat Sarawak (PRS).
Selain BERSATU, PN pimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin juga merangkumi PAS, GERAKAN, Parti Solidariti Tanah Airku (STAR) dan Parti Progresif Sabah (SAPP).
Selain Ali Biju, dua lagi calon bertanding atas tiket PN-BERSATU ialah Jugah Muyang yang mempertahan kerusi Lubok Antu dan Duke Janteng mencabar Tiong di Parlimen Bintulu.
Oleh SHAHRUL QAIZAT