
PARIS, Perancis: Ali Akbar mengenali semua orang dan semua orang mengenalinya. Penjual surat khabar terakhir di Paris ini meredah kafe demi kafe setiap hari, menjerit tajuk-tajuk lucu di tengah-tengah ibu kota Perancis.
“Perancis semakin pulih!” jeritnya, antara tajuk rekaan yang diciptanya bagi menarik perhatian pelanggan di kawasan mewah Saint-Germain-des-Prés.
“(Eric) Zemmour masuk Islam!” laungnya pula, merujuk kepada calon sayap kanan ekstrem dalam pilihan raya presiden 2022.
Penduduk tempatan dan pelancong di tebing kiri Sungai Seine – pusat intelektual dan budaya Paris – tersenyum melihat gelagatnya.

“Malah dinding pun tahu kisah Ali,” kata Amina Qissi, pelayan restoran di hadapan Pasar Saint-Germain, yang telah mengenali Akbar lebih 20 tahun.
Kini berusia 73 tahun, Akbar yang berbadan kurus dan berwajah tenang dengan surat khabar terselit di bawah lengannya, telah menjadi legenda tempatan, kata Amina.
“Malah pelancong tetap pun akan bertanya tentangnya jika tidak melihat kelibatnya,” katanya kepada AFP.
HIDUP YANG PENUH UJIAN
Presiden Perancis Emmanuel Macron berjanji akan menganugerahkan Akbar dengan darjah kebesaran Ordre national du Mérite sebagai penghargaan terhadap “khidmat setianya kepada Perancis.”
“Mula-mula saya tak percaya. Mungkin kawan-kawan yang minta dia (Macron), atau mungkin dia sendiri yang putuskan. Kami sering terserempak dulu masa dia masih pelajar,” kata Akbar.
“Saya rasa ini kerana keberanian saya, sebab saya bekerja keras,” tambahnya.
Akbar yang sering kelihatan dengan cermin mata bulat, jaket kerja biru dan topi gaya Gavroche, kebanyakannya menjual akhbar harian Le Monde.
Ketika tiba di Perancis pada usia 20 tahun untuk melarikan diri daripada kemiskinan dan menyara keluarga di Pakistan, beliau pernah bekerja sebagai kelasi kapal dan pencuci pinggan di sebuah restoran di Rouen, utara Perancis.

Kemudian di Paris, beliau bertemu pelawak terkenal Georges Bernier juga dikenali sebagai Professeur Choron – yang memberinya peluang menjual akhbar satira Hara-Kiri dan Charlie Hebdo.
Akbar pernah menjadi gelandangan, mengalami kemiskinan melampau dan juga diserang namun meskipun menghadapi pelbagai dugaan, katanya, dia tidak pernah berputus asa.
“Macron seolah-olah menyapu ubat antiseptik pada luka saya,” katanya kepada anak bongsunya, Shahab, 30, yang merupakan anak bongsu daripada lima beradik.
Shahab, yang sangat berbangga dengan bapanya, gemar mengumpul laporan media asing tentang ayahnya.
DARI LATIN QUARTER KE LEGENDA
Apabila mula berniaga sekitar 1970-an, Akbar memberi tumpuan kepada kawasan Left Bank ketika itu kawasan pelajar universiti “tempat di mana makanan murah boleh didapati,” katanya.
Di rue Saint-Guillaume, di hadapan universiti terkemuka Sciences Po, beliau belajar bahasa Perancis melalui perbualan dengan pelajar-pelajar, termasuk bekas Perdana Menteri Edouard Philippe dan ramai lagi yang kini menjadi menteri atau ahli parlimen.
Dahulu, Paris mempunyai kira-kira 40 penjual surat khabar jalanan yang menjual tanpa gerai tetap biasanya di lokasi strategik seperti pintu masuk stesen metro.
Namun Akbar memilih pendekatan berbeza: berjalan kaki menjaja akhbar, terutamanya di kawasan Latin Quarter. Pada 1980-an, beliau mula mencipta tajuk-tajuk sensasi.
“Saya mahu orang hidup gembira. Saya buat begini untuk menceriakan suasana, itu sahaja,” katanya.
Namun beliau mengakui, semakin sukar untuk mencipta jenaka yang berkesan.
“Sekarang semuanya kucar-kacir,” katanya dengan nada kecewa.
SEMANGAT TIDAK PERNAH PADAM
Walaupun menerima pencen sebanyak €1,000 (kira-kira RM5,900) sebulan, Akbar masih bekerja setiap hari dari 3.00 petang hingga 10.00 malam.
Ketika AFP menemuinya baru-baru ini, pelanggan amat sedikit. Beliau kini hanya menjual sekitar 30 naskhah sehari jauh berkurangan berbanding 150 hingga 200 naskhah sehari pada zaman kemuncaknya.
“Selagi saya ada tenaga, saya akan teruskan. Saya akan kerja sampai mati,” katanya sambil tertawa.
Di teres sebuah kafe, Amel Ghali, 36, menyifatkan Akbar sebagai seorang yang “menginsafkan.”
“Seronok tengok orang macam dia masih wujud dalam zaman digital ni,” katanya.
“Sayangnya, anak-anak kita mungkin tidak akan dapat merasai nikmat membaca surat khabar sambil minum kopi.” – AFP