
KAPIT: Menteri Kerja Raya yang juga Ahli Parlimen Kapit, Dato Sri Alexander Nanta Linggi hari ini menerima kunjungan hormat daripada Dr. Hans-Jacob Roald dari Western Norway University of Applied Sciences di Pejabat Residen Kapit.
Kunjungan tersebut bertujuan untuk memperkukuhkan kerjasama antara Sarawak dan Norway dalam bidang pembangunan mampan bandar serta perancangan wilayah, sejajar dengan usaha kerajaan negeri mewujudkan pembangunan yang seimbang dan berasaskan kemampanan di kawasan luar bandar.
Nanta yang juga Pengerusi Agensi Pembangunan Hulu Rajang (URDA) memberitahu, hubungan dua hala ini susulan lawatan kerja delegasi Sarawak ke Oslo dan Bergen awal tahun ini yang diketuai oleh Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Awang Tengah Ali Hasan, yang juga Menteri Sumber Asli dan Pembangunan Bandar Kedua serta Menteri Perdagangan Antarabangsa, Industri dan Pelaburan.
“Antara topik utama yang dibincangkan ketika lawatan tersebut ialah Pelan Induk Kapit yang dirangka untuk membimbing pembangunan masa depan Kapit secara mampan dan inklusif,” katanya dalam ucapan alu-aluannya ketika menerima kunjungan itu.
Katanya, pelan tersebut diterajui oleh RECODA dengan kerjasama Unit Perancang Ekonomi (EPU) Sarawak, selaras dengan Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 Sarawak 2030 (PCDS 2030) yang menekankan kemampanan, keterangkuman dan keseimbangan pembangunan wilayah.
Terletak di tengah Sarawak dengan penduduk lebih 60,000 orang, Kapit kini berkembang pesat selepas siapnya Jalan Sibu-Kapit, namun menghadapi cabaran baharu termasuk kesesakan, kekangan ruang pembangunan serta keperluan infrastruktur yang terancang.
Menurut Nanta, bagi mengatasi cabaran tersebut, Pelan Induk Kapit menggariskan transformasi bandar ini sebagai model pembangunan mampan dengan penekanan kepada mobiliti, ruang awam berkualiti, kemudahan komuniti dan pemeliharaan identiti budaya tempatan.
Katanya, sepanjang lawatan beberapa hari di Kapit, Dr. Hans-Jacob meninjau beberapa projek utama termasuk naiktaraf Jalan Bleteh, pembinaan Jalan Bukit Goram/Nanga Yong serta pembangunan kawasan bekas Lapangan Terbang Kapit bagi menilai potensi dan cabaran di lapangan.
Nanta turut menzahirkan keyakinan bahawa kepakaran Dr. Hans-Jacob dalam bidang perancangan bandar dan pembangunan lestari akan membantu memperkukuh pelaksanaan Pelan Induk Kapit agar menepati amalan terbaik antarabangsa tanpa mengetepikan keperluan tempatan.
“Bagi pihak kerajaan Sarawak dan URDA, saya merakamkan penghargaan atas kesudian beliau berkongsi ilmu serta pengalaman, yang pastinya memperkukuh hubungan baik antara Sarawak dan Norway ke arah pembangunan mampan dan seimbang di wilayah Hulu Rajang,” katanya.
Oleh Akun Giman