
Apa yang mengejutkan, Alexander Arnold memulakan sidang media perkenalannya dengan ucapan ringkas dalam bahasa Sepanyol.
MADRID: Trent Alexander Arnold secara rasmi diperkenalkan sebagai pemain baharu Real Madrid dan mengakui beliau memikul ‘tanggungjawab besar’ untuk membuktikan kemampuannya bersama gergasi Sepanyol itu.
Bek kanan England berusia 26 tahun itu menyertai Madrid dari Liverpool lebih awal daripada dijangka dengan bayaran perpindahan yang dipercepatkan, bagi membolehkan dia beraksi di Piala Dunia Kelab pada 19 Jun ini menentang Al Hilal di Miami.
Apa yang mengejutkan, Alexander Arnold memulakan sidang media perkenalannya dengan ucapan ringkas dalam bahasa Sepanyol, sebelum menyatakan betapa gembiranya menyertai juara Eropah 15 kali itu.
“Menyertai kelab seperti Real Madrid bukan perkara yang berlaku setiap hari. Ia satu impian jadi kenyataan,” katanya.
“Saya sangat gembira dan bangga berada di sini. Saya tak sabar menunjukkan aksi saya kepada penyokong Madrid. Bermain untuk Real Madrid satu tanggungjawab besar, tapi saya bersedia beri segala-galanya.”
Alexander Arnold menandatangani kontrak hingga 2031, selepas kontraknya di Liverpool hampir tamat musim panas ini.
Dia menyertai projek baharu bekas pemain tengah Reds, Xabi Alonso, yang kini menjadi pengendali Madrid menggantikan Carlo Ancelotti.
Alonso mengambil alih selepas musim hambar tanpa sebarang trofi, dan kehadiran Alexander Arnold serta pertahanan muda Dean Huijsen dari Bournemouth dijangka menyuntik nafas baharu dalam skuad Los Blancos.
Pemain yang membantu Liverpool menjuarai Liga Perdana Inggeris buat kali kedua musim ini bersama Arne Slot itu berharap dapat mengulangi kejayaan di Santiago Bernabeu.
“Saya harap dapat menang banyak trofi dan menjadi juara bersama Real Madrid,” katanya.
Alexander-Arnold akan memakai jersi nombor 12, dan menariknya, hanya nama ‘Trent’ akan tertera di belakang jersinya. – AFP