
KUALA LUMPUR: Ahli perniagaan Albert Tei dihadapkan ke Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas empat pertuduhan memberi suapan berjumlah RM176,829.03 kepada bekas Setiausaha Politik Kanan Perdana Menteri Datuk Seri Shamsul Iskandar Mohd Akin bagi membantu mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah.
Albert Tei Jiann Cheing, 37, mengaku tidak bersalah selepas keempat-empat pertuduhan itu dibacakan satu persatu di hadapan Hakim Suzana Hussin.
“Faham (pertuduhan), saya mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan,” kata Tei.
Tei didakwa atas dua pertuduhan memberikan suapan wang tunai RM100,000 dan RM40,000 kepada Shamsul Iskandar, 50, di tempat letak kereta sebuah hotel di Jalan Sultan Hishamuddin dan di sebuah premis di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini antara 24 November 2023 dan 29 Januari 2024.
Ia sebagai dorongan bagi Shamsul Iskandar membantu syarikat-syarikat yang tertuduh mempunyai kepentingan mendapatkan kelulusan lesen penerokaan mineral di Sabah, walaupun sebenarnya perbuatan itu tidak ada hubungan dengan hal ehwal prinsipalnya.
Tertuduh turut berdepan dua lagi pertuduhan memberikan satu suapan iaitu kelengkapan perabot dan barangan elektrik bernilai RM14,580.03 dan RM22,249 kepada individu sama bagi tujuan serupa.
Perbuatan itu didakwa dilakukan di dua lokasi iaitu di Jalan Medang Serai, Bukit Bandaraya di sini, antara 7 Disember 2023 dan 31 Januari 2024 dan di Jalan P14a 1/1, Presint 14, Putrajaya antara 26 Februari 2024 dan 5 Mac 2024.
Kesemua pertuduhan itu dibuat mengikut Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia 2009 (SPRM) [Akta 694] yang boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama, membawa hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda tidak kurang daripada lima kali ganda jumlah atau nilai suapan yang menjadi hal perkara kesalahan itu jika suapan itu dapat dinilai atau RM10,000, mengikut mana-mana yang lebih tinggi, jika sabit kesalahan.
Suzana membenarkan jaminan RM70,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia bagi kesemua pertuduhan dan menetapkan 8 Januari depan untuk sebutan kes bagi serahan dokumen.
“Mahkamah juga mengenakan syarat tambahan pasport tertuduh diserahkan pada mahkamah, melapor diri ke pejabat SPRM berdekatan kediaman tertuduh sebulan sekali dan tidak membuat kacau ganggu terhadap mana-mana saksi pendakwaan sehingga selesai kes,” kata hakim itu.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya Farah Ezlin Yusop Khan menawarkan jaminan RM300,000 dengan dua penjamin warganegara Malaysia berserta syarat tambahan tertuduh melapor diri sebulan sekali di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya, pasport diserahkan kepada mahkamah dan tidak mengganggu saksi pendakwaan.
“Tertuduh mempunyai perniagaan di Sabah dan Sarawak malah mempunyai perniagaan di Singapura yang memerlukan dia ke luar negara. Jadi saya percaya ada juga kemungkinan tertuduh ini ada flight risk (larikan diri).
“Melihat kepada tertuduh sendiri kurang memberi kerjasama seperti yang kita lihat dalam liputan media sosial, jadi kecendurangan untuk dia mengganggu saksi atau tidak memberi kerjasama itu sangat tinggi. Oleh itu, saya percaya jumlah jaminan yang kami (pendakwaan) tawarkan adalah munasabah,” katanya.
Bagaimanapun, peguam Latheefa Koya yang mewakili tertuduh memohon supaya jumlah jaminan dikurangkan dengan alasan anak guamnya menanggung keluarga serta mengambil kira jumlah yang dipertuduhkan adalah lebih kurang RM176,000.
“Jadi tidak ada isu tertuduh tidak memberikan kerjasama kerana kalau kita lihat kepada pertuduhan itu sendiri kesemua maklumat yang telah dibacakan datang daripada anak guam kami dan boleh dikatakan anak guam kami adalah sumber kepada maklumat berkenaan,” katanya.
Mengenai syarat tambahan pasport Tei perlu diserahkan kepada mahkamah, Latheefa berkata pasport anak guamnya telah diserahkan kepada Mahkamah Sesyen di Sabah dan tertuduh juga telah diminta untuk melaporkan diri di pejabat SPRM.
“Setakat ini tiada aduan anak guam gagal melaporkan diri ke pejabat SPRM seperti arahan mahkamah, maka tiada isu tertuduh tidak memberikan kerjasama,” katanya yang diturut dibantu peguam Mahajoth Singh, Eric Paulsen, N.Surendran dan Rajesh Nagarajan.- Bernama