PERUBAHAN zaman yang semakin ketara menuntut kebijaksanaan mereka yang terlibat di dalam bidang pertanian untuk membangunkan bidang berkenaan di negara ini.
Langkah tepat digunapakai oleh Borneo Empurau Farm & Resort, menerusi penanaman sayur-sayuran dengan kaedah Akuaponik iaitu gabungan Akuakultur (ternakan ikan air tawar) dan Hidroponik (kaedah pertanian berasaskan air).
Ladang yang terletak di Tarat, Serian itu yang menjadikan penanaman sayur-sayuran tempatan sebagai modul awal ke arah itu.
Ketua Pegawai Eksekutif Borneo Empurau Farm & Resort, Yong Wei Sheng @ Jerry memberitahu, usaha dilakukan pihaknya itu sebagai menyahut saranan kerajaan Sarawak untuk membangunkan pertanian moden.
“Apa yang pasti, himpunan pelbagai jenis sayur-sayuran tempatan diusahakan kita ketika ini yang menggunakan kaedah moden.
“Antaranya, terung asam, cili, timun, sawi, bayam, salad serta buah-buahan seperti tembikai wangi dan strawberi,” ujar beliau yang ditemui di ladang tersebut.
Sambil menambah, kesemua tanaman dihasilkan itu yang menggunakan bekas tong cat, sabut kelapa dan sumber air daripada gunung sebagai gabungan proses kitar semula.
Jerry berkata, sistem digunakan pihaknya ini ternyata amat baik kerana bukan sahaja memakan kos yang rendah tetapi berupaya mengeluarkan hasil tanaman yang berkualiti.
Bagi Akuaponik, Jerry memberitahu, ia memanfaatkan sumber air daripada tangki ikan Tilapia yang ditapis untuk proses tanaman yang diusahakan.
Kaedah ini juga telah menunjukkan hasil yang sangat baik apabila semua sayuran tumbuh dengan subur.
Memandangkan pusat berkenaan belum dibuka buat masa ini, semua hasil sayuran akan dijual ke pasar-pasar basah atau diberikan secara percuma kepada penduduk kampung sekitar.
Menurutnya, adalah menjadi hasrat pihaknya agar semua semua orang dapat merasai kesegaran dan keenakan sayuran yang ditanam menggunakan sistem fertigasi dan akuaponik ini.
“Inisiatif menggunakan sebahagian daripada ruangan di dalam pusat ekopelancongan tersebut juga menjadikan ia sebagai contoh terbaik dalam memanfaatkan teknologi untuk menanam sayur-sayuran,” katanya.
Oleh Faizal Bujang