Oleh Aileen Clare
“Aku tidak kisah, selagi jasad aku masih bernyawa di atas tanah ini, selagi itu aku tidak akan biarkan si Salman memegang jawatan sebagai ketua kampung di kampung ini.” Suara Tok Dirman bergema di warung Pak Koden .
Penduduk kampung yang berada di situ hanya memekakkan telinga, mereka sudah lali dengan tingkah laku Tok Dirman yang terlalu obses dengan jawatan ketua kampung. Bukan itu sahaja, Tok Dirman juga sentiasa berasa cemburu dengan Salman yang amat disenangi ramai.
“Sudah tahu diri itu kerdil, masih ada hati mahu merebut jawatan itu dengan aku.” Kata Tok Dirman dengan angkuh.
“Amboi Tok Dirman, hendak bercakap biarlah berpada – pada. Jangan kerana mulut nanti badan binasa, Tok Dirman benci sangat dengan si Salman janganlah sampai menghina.” Tegur Pak Koden sambil membawa secawan kopi untuk pelanggannya.
“Pak Koden!” Sapa Salman sambil mengangkat tangannya.
“Panjang umur kau Salman.” Kata Pak Koden sambil tersenyum.
“Pak Koden, tolong bungkuskan nasi lemak untuk saya. Saya nak tiga bungkus ya.”
Tanpa banyak bersuara, Pak Koden terus ke dapur. Penduduk kampung yang berada di situ menyambut kedatangan Salman dengan ramah, berbeza sekali dengan kedatangan Tok Dirman tadi. Wajah Tok Dirman semakin keruh dengan kedatangan Salman.
“Sepatutnya aku yang dihormati bukan engkau!” Desis hati Tok Dirman.
“Salman, cepatnya sampai. Di warung tidak ramai pelanggan?” Tanya Mak Jihan yang sedikit terkejut dengan kehadiran Salman.
Salman menggeleng sambil menghulurkan nasi lemak yang dipesan ibunya lalu menyalami ibunya. Dia meminta izin ke biliknya. Salman merupakan anak tunggal hasil daripada perkahwinan Mak Jihan dengan arwah suaminya.
“Tahniah Puan Jihan, Puan dikurniakan seorang bayi lelaki.” Kata Doktor Wani yang menguruskan proses bersalinnya.
Perasaan Mak Jihan pada waktu itu tidak dapat diungkapkan, betapa bersyukurnya dia dapat melahirkan seorang bayi lelaki dengan selamat. Semakin Salman membesar, tubuh Salman tidak menunjukkan tumbesaran yang sewajarnya. Tumbesaran Salman seperti terbantut dan sangat berbeza dengan kanak – kanak yang seusia dengannya.
Mak Jihan dan arwah suaminya membawa Salman berjumpa dengan doktor untuk membuat pemeriksaan kesihatan. Betapa luluh hati Mak Jihan apabila Salman disahkan menghidap Achondroplasia. Masalah ini menyebabkan protein tidak berfungsi secara normal dan tulang tumbuh lebih pendek serta memiliki bentuk abnormal terutamanya di bahagian tangan dan kaki.
Kekurangan fizikal Salman tidak mematahkan semangatnya untuk menjadi insan yang berjaya. Tidak dinafikan Salman sering menjadi mangsa ejekkan oleh rakan – rakannya. Semakin Salman meningkat dewasa, kata – kata cacian dan ejekkan semakin berkurangan. Penduduk kampung juga semakin menerima kelainan Salman, Salman juga sangat disenangi ramai atas sikapnya yang suka menolong orang, tutur katanya juga sopan dan kelakuannya yang penuh dengan adab. Di sebalik kesenangan orang ramai terhadap dirinya ada juga yang merancang untuk menjatuhkannya dalam diam.
Usia Salman mencecah 35 tahun dan dia masih belum memikirkan untuk beristeri. Baginya tiada wanita yang mahu menerima orang kerdil sepertinya untuk dijadikan suami.Salman mengurut kaki ibunya sambil mereka dua duduk menghadap televisyen.
“Mak, pagi tadi Salman dengar perbualan orang kampung Salman dengar ketua kampung kita akan letak jawatan minggu hadapan. Ketua kampung kita akan berpindah ke kampung sebelah dan tinggal bersama – sama anaknya.”
“Mak pun ada dengar, siapakah yang bakal menggantikan jawatan itu?”
Salman mengangkat bahunya tanda idak tahu.
Sementara itu di rumah Tok Dirman, Tok Dirman duduk termenung di beranda rumahnya. Otaknya tengah ligat memikirkan cara untuk mengambil hati penduduk kampung. Bagaimanakah caranya untuk memperoleh kepercayaan daripada orang kampung untuk mengundi dirinya menjadi ketua kampung. Inilah peluangnya untuk menjadi ketua kampung,arwah bapanya yang berkeinginan untuk menjadi ketua kampung juga gagal jadi dia akan berusaha untuk mendapatkan jawatan itu.
Tok Dirman berasa sangat tidak berpuas hati apabila dia terdengar bahawa Salman akan dicalonkan sebagai ketua kampung. Salman adalah pesaing utamanya, dia tidak akan membiarkan Salman memegang jawatan itu.
“Kenapa budak hingusan itu menjadi pilihan mereka? Aku hidup lebih lama di kampung ini, mereka sepatutnya memilih aku.” Tok Dirman bermonolog seorang diri .
“Kenapa aku benci Salman? Belum tentu dia mahu jawatan itu, pasti dia akan mengundurkan diri. Ya, dia pasti akan menghormati aku. Esok aku akan pergi berjumpa dengannya.” Tok Dirman menghabiskan air kopinya lalu masuk ke dalam rumah.
Tok Dirman sudah tiba di ladang sawit milik Salman, matanya melilau mencari kelibat Salman. Dia memanggil salah seorang pekerja Salman dan beratanya di manakah keberadaan tuannya. Pekerja itu pergi memanggil tuannya.
Salman datang dan tersenyum manis ke arah Tok Dirman, mereka bersalaman. Salman menjemput Tok Dirman berteduh di salah satu pondok yang dibina untuk pekerja di situ. Tok Dirman dihidangkan secawan teh panas, mereka hanya berborak kosong.
“Salman, kamu tahu ketua kampung kita sudah meletakkan jawatan?” Soal Tok Dirman yang dari tadi menunggu masa sesuai untuk bertanya.
“ Tahu Tok.”
“Kamu rasa siapa yang sesuai menjadi ketua kampung? Lagipun Timbalan Ketua Kampung kita, Pak Nordin tidak mahu menggalas tanggungjawab sebagai Ketua Kampung.” Tanya Tok Dirman sambil tersengih – sengih.
Salman mengerutkan dahinya sambil biji matanya ke atas, dia menggaru kulit kepalanya yang tidak gatal. Tok Dirman yang berada di hadapannya mengharapkan jawapan yang memuaskan.
“Entahlah Tok, siapa pun ketua kampung kita, saya sebagai penduduk kampung tetap sokong. Saya tahu tidak semua orang yang layak memegang jawatan itu. Saya rasa Tok Dirman tidak kurang hebatnya, Tok tidak mahu mencubanya?”
Tok Dirman tersenyum puas, sangat berpuas hati.
“Hahaha… Ada – ada saja, kamu yakin saya boleh jadi ketua kampung?”
“Kenapa tidak Tok, Tok Dirman pun sudah lama di kampung ini. Saya memang akan mengundi Tok Dirman sekiranya nama Tok tercalon. Tok Dirman usah risau.”
‘Dapatlah aku merangkul jawatan itu, Salman bukan saingan aku. Dia sendiri juga mengundi aku. Aku perlu berusaha mengambil hati penduduk yang lain.’ Desis hati Tok Dirman.
Setelah Ketua Kampung Batu Lintar meletakkan jawatan secara rasminya, Ahli Jawatankuasa di Kampung Batu Lintar mengadakan mesyuarat. Pemilihan ketua kampung baru menjadi isi utama dalam mesyuarat itu, nama Tok Dirman dan Salman antara yang tercalon.
Tok Dirman terkejut, begitu juga dengan Salman. Tok Dirman terasa tercabar, dia memandang Salman dengan ekspresi tidak berpuas hati. Salman perasan dengan pandangan tajam dari Tok Dirman, dia tidak mengendahkannya. Dia tidak menyangka namanya sememangnya akan tercalon sebagai ketua kampung.
Di sebelah malam, Tok Dirman serta rakan – rakan sekampungnya berkumpul di bawah rumah Tok Dirman.
“Aku memang tak setuju! Kenapa nama dia ada sekali! Orang lain memang boleh aku kalahkan, tetapi dengan Salman memang menjadi masalah. Kenapa orang kampung suka dengan Salman? Aku memang tak layak ke?” Omel Tok Dirman sambil menepuk meja .
“Entahlah Tok, mungkin Tok sudah tua nak uruskan hal kampung, jadi mereka kurang percayakan kemampuan Tok.”
Tidak semena – mena lelaki muda itu dijerkah oleh Tok Dirman. Kemudian mereka semua diam, lama mereka mendiamkan diri dan tiba – tiba Tok Dirman tersenyum sinis.
“Aku ada cadangan.”
Mereka semua berpandangan antara satu sama lain. Tok Dirman memberitahu rancangan jahatnya, mereka semua membantah tetapi Tok Dirman menawarkan ganjaran yang lumayan jadi mereka menurut. Tanpa disedari, anak Tok Dirman, iaitu Mustafa secara tidak sengaja mendengar semua perbualan mereka. Mustafa seakan – akan tidak percaya dengan sikap buruk ayahnya, dia perlu memastikan rancangan itu gagal.
“Man, tanggungjawab sebagai Ketua Kampung itu besar. Mak sokong segala keputusan Man, terpulang kepada Man sama ada nak terima atau tidak jawatan itu.”
“Mak, keputusan belum rasmi. Salman hanya dicalonkan, mustahil penduduk kampung akan mengundi Salman. Kemungkinan besar Tok Dirman akan terpilih, Tok Dirman tidak kurang hebatnya.”
“ Salman! Salman! ” Salman dan Mak Jihan terkejut. Mereka lekas membuka pintu.
Di luar rumah Salman dikerumuni penduduk kampung. Riak wajah mereka kelihatan kurang senang, Salman tercengang – cengang.
“Hei Salman, mana kambing dan lembu kami! Cepat pulangkan!” Kata salah seorang penduduk kampung.
“Kambing? Lembu? Maksud tuan – tuan semua?” Soal Salman, dia memang tidak mengerti.
“Buat – buat tidak tahu, kambing dan lembu kami semua hilang. Tok Dirman kata kau yang ambil. Belum jadi ketua kampung kau dah jadi ketua pencuri ya, pulangkan haiwan ternakan kami!”
Tok Dirman yang mengintai dari jauh menepuk dahi.
“Aduh, kenapa mereka sebut nama aku? Aku sudah cakap jangan dedahkan nama aku.”
Tok Dirman datang ke arah mereka, membuat muka tidak bersalah.
“Salman, lebih baik kau pulangkan haiwan ternakan mereka. Aku nampak kau menarik haiwan – haiwan itu ke ladang sawit kau.’
“Tok, jangan fitnah saya. Saya langsung tidak mencuri. Dari tadi saya tidak keluar dan hanya berada di dalam rumah. Sampai hati Tok tuduh saya.” Tegas Salman mempertahankan diri.
“Salman, Tok takkan menuduh orang tanpa bukti. Kami semua hanya mahu hak kami dikembalikan. Pulangkan semuanya.”
“Tidak, bukan aku yang mengambilnya. Entah – entah Tok yang pasang perangkap dan memfitnah saya di hadapan penduduk kampung. Saya tahu Tok ingin mengambil jawatan itu tetapi bukan ini caranya. Sungguh keji tindakan Tok!” Kemarahan Salman semakin meluap. Mak Jihan mengusap – usap dada Salman, air mata ibunya mengalir.
Tok Dirman berasa tercabar. Perasaan bencinya terhadap Salman semakin meninggi. Dia harus menyingkirkan Salman pada malam itu juga.
“Hei ! Kau jangan nak menghina aku! Aku lebih tua dari kau, jaga sikit tutur kata kau! Kau memang tak sedar diri, sedarlah diri itu cacat. Aku rasa memang keturunan kau disumpah sebab itulah kau kerdil, sudahlah diri itu kerdil dan cacat mulut pun cacat juga? Dasar keturunan pencuri! Kau tak patut duduk di atas tanah ini! ” Hina Tok Dirman, dia sangat berpuas hati.
Salman terkedu, dia tidak menyangka Tok Dirman yang sangat disegani ini akan menghinanya. Matanya berkaca – kaca, Tok Dirman masih tersenyum angkuh dan dia menoleh ke arah penduduk kampung meminta sokongan daripada mereka namun dia silap .
“Tok Dirman ! Sudah Tok ! Tok Dirman sendiri yang cakap Salman curi haiwan ternakan kami, kalau benar sekalipun Tok langsung tiada hak menghinanya apatah lagi menghina keturunannya.”
“Betul!” Sahut semua penduduk kampung.
Tok Dirman menikus, dia menunduk. Dia memarahi dirinya sendiri.
Tok Dirman mahu membuktikan semuanya, dia membawa mereka semua ke ladang Salman. Salman turut serta, dia meminta ibunya duduk di rumah sahaja dan meminta ibunya mendoakannya. Sayu hati seorang ibu apabila anaknya dianiaya dan lebih parah lagi apabila kekurangan anaknya dipijak – pijak seperti tiada harga diri .
Mereka tiba di ladang sawit milik Salman, mereka mencari di sekitar ladang dan Tok Dirman mengarahkan penduduk lain mencari dengan teliti. Suluhan lampu suluh menerangi kawasan ladang kelapa sawit. Salman hanya berdiri, dia merenung tajam ke arah Tok Dirman. Tok Dirman menangkap anak matanya, dia tiba – tiba berasa gerun dengan renungan tajam itu.
Hampir 15 minit berlalu, penduduk kampung gagal menemukan haiwan ternakan mereka.
“ Di mana kau sorok semua haiwan itu!” Jerkah Tok Dirman .
“Aku sudah kata, bukan aku yang mengambilnya!” Jawab Salman dengan penuh kemarahan.
“Aku tahu dia sorokkan haiwan – haiwan itu di tempat lain. Mari ikut aku!” Arah Tok Dirman. Tiada seorang pun yang berganjak.
“Tok yakin Salman yang mencurinya? Kenapa Tok bersungguh – sungguh ingin membuktikan Salman bersalah ? Tok juga seolah – olah tahu di mana dia sorokkan sedangkan tadi Tok hanya kata yang Tok melihat Salman masuk ke dalam kandang milik kami dan Tok tidak tahu di mana dia sorokkan.”
Semua mata tertumpu ke arah Tok Dirman, Tok Dirman berasa tidak keruan.
‘Celaka, janganlah mereka syak bukan – bukan terhadap aku. Di mana mereka letak haiwan – haiwan itu? Rugi duit aku membayar mereka.’ Desis hati Tok Dirman.
“Kalau begitu, lebih baik kita ke rumah Tok Dirman. Dia juga ada kandang kambing, tidak jauh dari belakang rumahnya.” Cadang salah seorang penduduk.
“Kau nak tuduh aku pula? Aku tidak seperti Salman, dia pencuri!”
“Kenapa takut? Tok Dirman perlu membuktikannya.” Kata Salman sambil tersenyum sinis .
Tok Dirman tidak berpuas hati , bukan dia yang mencurinya tetapi jauh di sudut hatinya berasa kurang enak. Mereka sama – sama berjalan menuju ke rumah Tok Dirman dan terus ke kandang kambingnya. Tidak lama kemudian, salah seorang menjerit keriangan apabila lembunya ditemui. Semua penduduk kampung berpusu – pusu masuk ke dalam kandang itu dan mengambil kembali haiwan ternakannya.
Tok Dirman terkejut, jantungnya berdebar laju. Dia tidak menyangka haiwan – haiwan itu ada di dalam kandangnya. Penduduk kampung menyerang Tok Dirman, mereka memarahi Tok Dirman dan ada yang menghinanya dengan lebih teruk. Tok Dirman kehilangan suara untuk mempertahankan dirinya, dia berasa malu dan tidak menyangka kejahatan yang dirancangnya akan berbalik kepadanya pada masa itu juga.
Beberapa penduduk kampung meminta maaf kepada Salman, dengan hati yang terbuka dengan mudahnya dia menerima maaf itu. Salman melihat Mustafa dari jauh, Mustafa tersenyum ke arahnya. Setelah Mustafa mendengar rancangan jahat ayahnya, dia menelefon beberapa orang rakannya bertemu di warung Pak Koden.
Mustafa mahu menggagalkan rancangan ayahnya, mereka pergi ke ladang sawit Salman secara senyap dan membawa haiwan – haiwan itu dan mengikat dengan ketat di kandang kambing bapanya. Baginya tindakan ayahnya salah, ayahnya sangat ego dan terlalu angkuh. Dia tidak kisah dicemuh oleh penduduk kampung, sekurang – kurangnya kejadian ini akan menyedarkan ayahnya.
Tok Dirman membuat keputusan untuk berpindah keluar dari kampung itu. Dia berasa amat malu. Mustafa mengakui bahawa dia yang merancang kejadian itu, Tok Dirman berasa amat marah dan ada sedikit pertengkaran di antara mereka. Mustafa sedaya upaya menyedarkan ayahnya supaya dapat membezakan perkara yang baik dan buruk, dia tidak mahu kejahatan itu akan memakan diri. Tok Dirman insaf.
Sebelum mereka pergi, Tok Dirman sekeluarga sempat datang ke rumah Salman. Tok Dirman meminta maaf dengan bersungguh – sungguh. Dia menangis teresak – esak memeluk Salman.
Kini, secara rasminya Salman menggalas tanggungjawabnya sebagai ketua kampung. Penduduk kampung sangat senang hati menerimanya, Salman menjaga kampung itu dengan seikhlas hatinya.
‘Kalau bapa masih ada, tentu bapa akan berasa bangga.’ Desis hati Salman sambil memandang ke atas langit.