
KUALA LUMPUR: Pelakon filem Tamil Malaysia, Sharath Nair pasti membuatkan peminatnya teruja apabila menjadi pengarah dalam projek sulungnya yang bakal ditayangkan tahun depan.
Lebih dikenali sebagai Shabby, katanya, persiapan untuk projek pertama arahannya itu berjalan lancar.
“Hampir semua kerja asas telah disiapkan. Menjelang hujung tahun ini, saya akan membuat pengumuman rasmi dan kami menyasarkan tayangan sekitar tahun depan,” katanya dalam satu temu bual eksklusif baru-baru ini.
Populariti Shabby meningkat menerusi lakonannya di Malaysia dan pembabitan awal dalam industri filem India Selatan termasuk Kollywood, pelakon berusia 31 tahun itu berkata menceburi bidang pengarahan sudah lama menjadi sebahagian daripada impian kreatifnya.

“Saya sentiasa percaya bahawa penceritaan bukan sekadar lakonan. Pengarahan membolehkan saya menyatukan idea dengan persembahan, muzik, visual dan emosi menjadi satu visi yang lengkap,” tambahnya.
Selain pengembangan kerjaya, Shabby yang berasal dari Batu Caves, Selangor, berkata projek tersebut juga bertujuan membuka peluang kepada bakat-bakat muda dalam industri kreatif.
“Projek ini sangat dekat di hati saya kerana saya mahu memberi peluang kepada golongan muda bukan sahaja dalam bidang lakonan, tetapi dalam semua bahagian seperti pengarahan, muzik, produksi dan kerja teknikal,” katanya.

Menurutnya, ramai anak muda mempunyai idea yang kuat dan tenaga kreatif, namun kekurangan platform untuk menonjolkan kebolehan mereka.
“Anak muda hari ini mempunyai banyak idea dan perspektif baharu. Effective Idea People diwujudkan sebagai ruang untuk mereka mengekspresikan idea tersebut dan menjadikannya sesuatu yang bermakna,” kata Shabby, yang mempelajari bidang komunikasi visual di Loyola College di Chennai, India.
Beliau menambah walaupun kecerdasan buatan (AI) akan digunakan dalam projek tersebut, teknologi itu hanya berfungsi sebagai alat sokongan, bukan menggantikan kreativiti manusia.
“AI sememangnya berguna dan relevan dalam proses pembikinan filem masa kini, tetapi teknologi itu tidak boleh menggantikan emosi dan intuisi manusia. Kita masih memerlukan tenaga manusia untuk menghasilkan sesuatu yang nyata dan lengkap,” katanya.
Shabby berharap karya sulung arahannya itu bukan sahaja menghiburkan penonton, malah turut memberi inspirasi kepada bakat-bakat baharu untuk menceburi kerjaya dalam industri kreatif dengan penuh keyakinan.
“Saya mahu projek ini meninggalkan impak positif pada golongan muda dan meyakinkan mereka bahawa terdapat ruang dalam industri ini untuk mengetengahkan idea mereka,” tambahnya.
Shabby aktif dalam industri perfileman Malaysia sejak 2012, dan mendapat pengiktirafan menerusi filem-filem pendek sebelum membuat kemunculan sulung dalam filem cereka Kaliyugha (2013), arahan S.T. Bala.
Beliau kemudiannya muncul dalam beberapa produksi lain termasuk Pulanaivu, arahan Shalini Balasundaram.
Shabby juga mengembangkan bakatnya dalam filem berbahasa Melayu, antaranya Telekinesis arahan Syafiq Yusof, sekali gus menonjolkan beliau sebagai pelakon serba boleh. – Bernama