KAHERAH: Pemilik kapal kontena raksasa yang menghalang Terusan Suez mengatakan bahawa mereka menghadapi kesukaran untuk kembali beroperasi secara normal sehingga mendorong Mesir untuk menangguhkan aktiviti navigasi perairan di kawasan itu, semalam.
Pihak Berkuasan Terusan Suez (SCA) mengatakan, pihaknya sedang berusaha mengapungkan kapal MV Ever Given dikibarkan dengan bendera kebangsaan Panama, sebuah kapal sepanjang 400 meter (1.300 kaki) yang terkandas di terusan itu akibat ribut pasir pada Selasa lalu.
Gambar satelit yang dikeluarkan oleh Planet Labs Inc menunjukkan kapal kontena selebar 59 meter yang tersangkut secara melintang di seluruh Terusan Suez..
Syarikat penyewa kapal Jepun, Shoei Kisen Kaisha mengatakan ia memiliki kapal raksasa itu dan menghadapi “kesukaran yang sangat” untuk mengapungkannya semula.
“Kami bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan dan Bernhard Schulte Shipmanagement, sebuah syarikat pengurusan kapal dan berusaha untuk mengapung kembali (kapal), tetapi kami menghadapi kesulitan yang sangat besar.
“Kami dengan tulus meminta maaf kerana menimbulkan kegusaran terhadap kapal lain di Terusan Suez dan mereka yang merancang untuk melalui terusan tersebut,” kata Shoei Kisen Kaisha dalam sebuah kenyataan di sesawang rasmi syarikat itu.
Sementara itu, pakar perkapalan memberitahu bahawa kapal itu memerlukan masa beberapa hari atau berminggu-minggu untuk dialihkan dari Terusan Suez.
Justeru, SCA mengumumkan bahawa ia melakukan penutupan sementara Terusan Suez.
Sumber maritim memberitahu kapal korek baharu telah dikerahkan untuk mempercepat operasi sementara kapal lain dari utara tetap berlabuh di kawasan menunggu pembukaan terusan.
“Kami tidak pernah melihat yang serupa sebelumnya.
“Kemungkinan kesesakan itu … akan memakan masa beberapa hari atau minggu untuk menyelesaikannya kerana ia akan memberi kesan buruk kepada kapal lain,” kata Ranjith Raja, penyelidik minyak dan perkapalan Timur Tengah di firma data kewangan antarabangsa Refinitiv. -AFP