
DARO: Aktiviti sukan dan riadah bukan sahaja penting untuk meningkatkan tahap kesihatan, malah menjadi wadah terbaik dalam menyatukan masyarakat serta memperkukuh perpaduan antara generasi.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian terhadap keperluan masyarakat luar bandar.
“Program sebegini membuktikan komitmen kerajaan dalam memastikan rakyat luar bandar turut menikmati peluang melaksanakan aktiviti bermanfaat.

“Walaupun impaknya tidak dapat dilihat secara langsung, namun ia memberi kesan positif kepada masyarakat dari aspek kesihatan, semangat kebersamaan dan pembangunan sosial,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Perasmian Program Komuniti Cergas Luar Bandar @ Daro di Kampung Penasu anjuran Kementerian Belia dan Sukan Sarawak, semalam.

Menurutnya, usaha sebegini bukan sahaja memberi ruang kepada masyarakat untuk bergiat aktif, malah dapat memupuk disiplin, daya saing serta budaya hidup sihat dalam kalangan generasi muda.
Beliau menegaskan komitmennya untuk terus menyokong penganjuran program seumpama ini pada masa akan datang kerana ia mampu meningkatkan semangat kesukarelawanan, memperkukuh jaringan sosial, serta memberikan manfaat menyeluruh kepada rakyat di kawasan Daro.
Oleh Akun Giman