KUCHING:Aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal membabitkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka serta tertutup belum dibenarkan di Sarawak.
Menteri Belia dan Sukan Sarawak, Datuk Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, Sarawak masih lagi mengikut prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak.
Menurutnya, JPBN Sarawak sebelum ini hanya membenarkan aktiviti sukan tidak bersentuhan tertakluk kepada kelulusan kementerian.
“Bagaimanapun, kita akan meneliti untuk melonggarkan SOP bagi perkara tersebut. Memandangkan kita sudah nampak ada kelonggaran yang diumumkan JPBN semalam berkaitan SOP kemasukan ke negeri ini, Insya Allah sukan bersentuhan ini akan dibuka juga,” jelasnya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita selepas Majlis Sambutan ‘Selamat Kembali Ke Bumi Kenyalang Atlet Paralimpik Tokyo 2020’ di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching (LTAK), semalam.
Abdul Karim yang juga Menteri Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan memberitahu, Sarawak juga dalam proses untuk membuka lebih banyak sektor industri termasuk aktiviti sukan secara berperingkat.
“Ini bermaksud proses bagipembukaan sektor industri seperti pelancongan serta aktiviti sukan ini sedang dimulakan secara berperingkat.
“Ia juga bagi membolehkan para atlet yang akan mewakili Sarawak ke temasya Sukan Malaysia (SUKMA) dapat menjalani sesi latihan mereka,” ujarnya.
Dalam perkembangan sama, beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Asajaya memberitahu, pihaknya mempunyai perancangan jangka masa panjang bagi membangunkan potensi atlet-atlet Sarawak bersaing di peringkat negeri dan negara.
“Atas sebab itu dalam perancangan kita antaranya pusat kecemerlangan yang akan kita bangunkan di kompleks sukan di Petra Jaya supaya atlet-atlet ini diasuh dengan lebih lebih teliti lagi seperti yang ada di Bukit Jalil, Kuala Lumpur,” tambahnya.
Rabu lalu, Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob membuat pengumuman mengenai aktiviti sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal membabitkan pengoperasian fasiliti sukan dan rekreasi terbuka serta tertutup di negeri Fasa 2 dan Fasa 3 Pelan Pemulihan Negara (PPN) dibenarkan kepada individu lengkap vaksin.
Bagaimanapun, aktiviti itu perlu dijalankan secara tempahan, penjadualan penggunaan dan pemantauan rapi selain fasiliti sentiasa disanitasi.
Malah, aktiviti sukan dan rekreasi berpasukan membabitkan sentuhan fizikal seperti bola sepak, bola tampar dan sepak takraw juga dibenarkan mengikut kapasiti penuh sukan itu bagi individu lengkap vaksin dan dilakukan di premis mempunyai kawalan penyeliaan sepenuhnya.
Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato Sri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis, Menteri Muda Wanita dan Pembangunan Kanak-Kanak, Rosey Yunus, Menteri Muda Belia dan Sukan, Datuk Snowdan Lawan serta yang lain.
Oleh AKUN GIMAN