KAMPUNG Long Bedian, Baram mendapat tempat keempat dalam Pertandingan Anugerah Ilham Desa (AID) pada 22 Disember 2021 diadakan di Institut Kemajuan Desa (INFRA), Selangor.
Menurut Ketua Kumpulan Kampung Long Bedian, Kaunselor Jok Eng Jok sepatutnya pertandingan ini diadakan pada 2020 bagaimanapun atas masalah penularan wabak Covid-19 maka pertandingan tersebut dilanjutkan pada Disember tahun lepas (2021).
Katanya, pertandingan ini merupakan pertandingan juara antara juara yang mana enam kampung seluruh Malaysia yang pernah merangkul juara AID sejak 2000 hingga 2015 dipertandingkan semula anjuran Kementerian Pembangunan Luar Bandar.
Enam kampung yang terpilih ialah dua kampung dari Semenanjung Malaysia iaitu Kampung Kulim Langkawi Kedah dan Kampung Peruas Raub Pahang.
Sementara empat kampung dari Sabah, Sarawak terdiri dari Kampung Batu Putih Kinabatangan dan Kampung Sinisian Kundasang Sabah, Kampung Lubuk Temiang Labuan dan Kampung Long Bedian dari Miri Sarawak yang merupakan juara AID pada 2001.
Kaunselor Jok berkata, pertandingan tersebut bertemakan ‘Komuniti Kreatif Desa Inovatif’, yang mana kampung-kampung yang berentap dalam pertandingan tersebut mengetengahkan projek yang diilhamkan oleh penduduk kampung dengan menggunakan daya kreativiti dan inovasi mereka.
Menurut Jok, projek-projek dinilai menerusi kriteria penyediaan rekod dan pengurusan projek yang sistematik dan kemampuan projek dalam menghadapi pelbagai cabaran masa hadapan.
Jelas Jok, Kampung Long Bedian telah mengetengahkan industri perniagaan dan peruncitan melalui Kedai Berpusat.
Katanya, impak Anugerah Ilham Desa adalah untuk memberikan penghargaan dan pengiktirafan Kementerian Pembangunan Luar Bandar (KPLB) kepada warga desa yang mempunyai daya usaha untuk menggunakan ekonomi dan sosial setempat melalui projek yang kreatif dan berinovasi serta berimpak tinggi.
Jelasnya, sejak menyertai Anugrah Ilham Desa, ekonomi kampung Long Bedian semakin berkembang dan pendapatan keluarga meningkat.
Ini katanya, disebabkan penglibatan masyarakat kampung dalam pelbagai aktiviti sosioekonomi sekali gus memberi suntikan semangat kepada pekedai untuk terus bergiat aktif dalam perniagaan masing-masing.
Menurut beliau, sekarang ini ramai pekedai-pekedai runcit di Kampung Long Bedian sudah mulai mengubah keadaan perniagaan mereka.
Ada yang terlibat dalam perkhidmatan penginapan (Inap Desa), kedai makan dan ada yang mencebur diri dalam kontraktor pembinaan dalam bengkel dan menjual kraf tangan, bengkel dan jual motor dan ada pula yang membuka kedai salun dan kedai makan.
Tegas Jok, hasil kemenangan mereka yang mendapat tempat keempat, mereka membawa hadiah wang tunai RM4,000, sijil dan piala iringan.
Manakala juara dimenangi Kampung Peruas Pahang, naib juara disandang Kampung Lubuk Temiang, Wilayah Persekutuan Labuan dan tempat ketiga dimenangi Kampung Batu Puteh, Kinabatangan Sabah.
Sebagai peserta tunggal dari Sarawak, Kaunselor Jok selaku Ketua Kumpulan, Kampung Long Bedian berkata, sejak bermulanya AID pada tahun 2000, sebanyak 243 kampung telah mengambil bahagian.
Katanya, untuk AID 2020 sebanyak 15 kampung dipelawa untuk mengambil bahagian yang mana Kampung Long Bedian antara yang dipilih antara enam finalis dan dinilai oleh barisan Inspektorat yang mewakili pelbagai agensi yang berkenaan.
“Dengan mengetengahkan produk Peningkatan Ekonomi melalui Kedai Berpusat, kesan Anugerah Ilham Desa mengubah landskap ekonomi Kampung Long Bedian.
“Semakin ramai yang membuka kedai runcit dan terlibat dalam pelbagai aktiviti sosioekonomi dan kini Kampung Long Bedian merancang satu kawasan baharu untuk membina pusat perniagaan. Lebih 20 lot kedai akan didirikan,” tambah Jok.
Oleh JIKU JUUONG