
MIRI: Majlis Bandaraya Miri (MBM) ingin menjelaskan bahawa aktiviti menangkap ikan yang dijadualkan pada 8 dan 9 Julai lepas di Kolam Taman Bulatan adalah inisiatif dalaman yang melibatkan sekolah terpilih sahaja.
MBM menerusi satu kenyataan media memberitahu bahawa tujuan aktiviti ini adalah untuk mengurangkan populasi ikan berlebihan, yang telah menjejaskan kualiti air dan menimbulkan aduan mengenai bau dan kekeruhan air.
“Ikan-ikan tersebut akan dipindahkan ke kolam sekolah bagi tujuan pendidikan dan kecantikan.
“Malangnya, satu surat yang sepatutnya untuk sekolah sahaja telah tersebar kepada umum, menyebabkan kekeliruan seolah-olah acara ini terbuka kepada semua.
“Salah faham ini mengganggu program dan aktiviti tersebut telah ditangguhkan sehingga diberitahu kelak,” jelas kata kenyataan itu.
Segala aktiviti pemindahan ikan dikendalikan di bawah seliaan Majlis.
“Majlis berterima kasih kepada pihak sekolah atas sokongan mereka dan memohon maaf atas sebarang kekeliruan.
“Tarikh baharu akan diumumkan selepas semua perancangan dimuktamadkan,” katanya
Untuk maklumat yang tepat, sila rujuk saluran rasmi Majlis Bandaraya Miri sahaja.