
Abang Johari ketika menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung ke-16 PBB di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK), petang tadi.
PETRA JAYA: Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg menyifatkan kenyataan Datuk Seri Azalina Othman Said mengenai Petronas dan anak syarikatnya tidak perlu mendapatkan lesen tambahan atau mematuhi prosedur lain untuk beroperasi di Sarawak sebagai tidak tepat.
Beliau berkata, isu tersebut akan terus dirunding dengan Kerajaan Persekutuan bagi memastikan kedudukan Sarawak melalui Petros dihormati.
“Kenyataan Azalina mungkin kurang tepat. Saya akan terus berunding dengan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim,” katanya ketika ditemui selepas menggulung perbahasan pada Perhimpunan Agung PBB ke-16 di Pusat Konvensyen Borneo Kuching (BCCK) di sini hari ini.
Menerusi jawapan bertulis di Parlimen kepada Ahli Parlimen Stampin, Chong Chieng Jen, Azalina selaku Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi) baru-baru ini menyatakan Sarawak telah menerima PDA 1974 sebagai undang-undang utama yang mengawal industri petroleum negara.
Selain itu, Petronas juga mengiktiraf Petros sebagai agregator gas di Sarawak kecuali bagi gas asli cecair (LNG).
Azalina turut menyatakan bahawa Kerajaan Persekutuan, Petronas, kerajaan Sarawak dan Petros sedang memperhalusi beberapa aspek perjanjian termasuk implikasi undang-undang.
Dalam ucapan penggulungannya itu, Abang Johari menjelaskan bahawa hak Sarawak terhadap sumber minyak dan gas adalah termaktub dalam Perlembagaan Malaysia.
Beliau merujuk kepada peruntukan yang menyatakan bahawa sebarang aktiviti perlombongan dan penerokaan minyak perlu mendapat kelulusan dari kerajaan negeri.
“Sebelum sesiapa mengorek gas kita, mereka mesti meminta izin dari Sarawak. Perlembagaan adalah undang-undang tertinggi negara, dan kita akan pastikan hak negeri kita dipertahankan,” katanya.
Abang Johari juga menegaskan bahawa Sarawak tidak akan berkompromi dalam isu ini kerana pengurusan sumber asli negeri perlu berpandukan kepada perundangan yang telah digariskan.
“Sarawak berpegang teguh kepada hak-haknya yang termaktub dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) dan Perlembagaan Persekutuan,” katanya.
Abang Johari turut menyatakan bahawa dalam perbincangan bersama Perdana Menteri, beliau telah menekankan kepentingan peranan Petros dalam pengurusan sumber tenaga di Sarawak.
“Saya telah berunding dengan Perdana Menteri, dan beliau bersetuju bahawa Petros akan menjadi gas aggregator mengikut undang-undang kita. Ini jelas menunjukkan bahawa hak negeri harus dihormati,” tambahnya.
Kerajaan Sarawak komited untuk memastikan hasil daripada sumber minyak dan gas memberi manfaat maksimum kepada rakyat negeri ini.
Abang Johari menegaskan bahawa pihaknya akan menggunakan segala saluran yang ada untuk mencapai penyelesaian yang adil dan saksama dalam rundingan dengan Kerajaan Persekutuan.
Oleh SHAH IZZAT dan MASRIN AFFIRAH