Aktiviti kebudayaan perkukuh keharmonian masyarakat

Facebook
WhatsApp
TIMBALAN Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato' Sri Huang Tiong Sii menyerahkan sumbangan kepada Kelab Kebudayaan Dian Lian Meradong. Foto Pusat Khidmat Parlimen Sarikei

BINTANGOR: Pemeliharaan seni dan budaya perlu bergerak seiring dengan pembangunan fizikal bagi membentuk komuniti yang harmoni, bersatu serta mempunyai hubungan sosial yang kukuh.

Timbalan Menteri Perladangan dan Komoditi, Dato’ Sri Huang Tiong Sii berkata, pembangunan sesebuah komuniti bukan hanya melibatkan penyediaan kemudahan asas dan infrastruktur, malah turut merangkumi kegiatan kebudayaan dan kemasyarakatan.

Katanya, pertubuhan seperti Kelab Kebudayaan Dian Lian Meradong mempunyai peranan dalam menyediakan platform kepada masyarakat untuk berinteraksi, memelihara kebudayaan serta memperkukuh hubungan sesama komuniti.

“Sebagai wakil rakyat, saya sentiasa memberi perhatian kepada pembangunan di kawasan Sarikei.

“Saya percaya masyarakat yang aktif dalam kegiatan kebudayaan dan sosial dapat mewujudkan suasana yang lebih harmoni,” katanya.

Huang berkata demikian semasa merasmikan Majlis Pelantikan Ahli Jawatankuasa Baharu dan Majlis Sambutan Perayaan Kuih Bulan Kelab Kebudayaan Dian Lian Meradong, malam tadi.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Sarikei dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Repok berkata, kesinambungan sesebuah pertubuhan juga memerlukan penglibatan generasi baharu yang dapat berganding bahu dengan ahli berpengalaman dalam meneruskan aktiviti dan matlamat kelab.

Tambahnya, penglibatan kedua-dua kelompok tersebut penting dalam memastikan pengalaman kepimpinan dapat dikongsi, manakala generasi baharu diberi ruang memainkan peranan dalam meneruskan usaha memelihara kegiatan kebudayaan.

“Majlis seperti ini bukan sahaja untuk meraikan perayaan, tetapi juga memberi peluang untuk mengeratkan hubungan dan memupuk semangat perpaduan dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Dalam pada itu, Huang merakamkan penghargaan kepada Premier Sarawak, Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg atas kepimpinan dan usaha berterusan kerajaan Sarawak dalam membangunkan negeri serta menjaga kebajikan rakyat.

“Baru-baru ini, kerajaan Sarawak turut menganjurkan program Sarawakku Sayang di Sarikei selama tiga hari dengan pelbagai aktiviti untuk masyarakat.

“Program ini merupakan usaha Kerajaan Sarawak untuk mengeratkan hubungan serta menjaga kesejahteraan masyarakat,” katanya lagi.

Pada majlis sama, Huang turut menyumbangkan RM20,000 kepada Kelab Kebudayaan Dian Lian Meradong sebagai tanda sokongan terhadap usaha kelab tersebut melaksanakan aktiviti kebudayaan dan mengeratkan hubungan dalam kalangan masyarakat.

Sumbangan tersebut diharap dapat membantu kelab meneruskan program yang memberi ruang kepada penyertaan komuniti, selain memastikan kegiatan seni dan kebudayaan terus dipelihara untuk generasi akan datang.

Oleh Earl Anek