
BAU: Polis menahan lima lelaki tempatan serta merampas peralatan dan wang tunai dalam satu operasi dikenali sebagai Op Limau di rumah dalam pembinaan di Kampung Segong di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Bau, Supt Mohd Haide A Rahman berkata pada kira kira 4.05 petang, sepasukan anggota dari Bahagian Siasatan Jenayah telah tiba di lokasi dan mendapati beberapa individu berkumpul dan dipercayai terlibat dalam aktiviti perjudian haram melibatkan permainan dikenali sebagai Ho Hey How atau ‘holo’.
Beliau berkata, pihak polis telah memperkenalkan diri sebelum menahan kesemua suspek dan merampas peralatan yang digunakan untuk aktiviti perjudian tersebut di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Antara barangan yang dirampas ialah satu set ‘holo’ berwarna biru, tiga biji dadu, sehelai kain perjudian, meja bulat, empat kerusi serta wang tunai berjumlah RM1,174 yang dipercayai hasil perjudian.
“Kesemua lima suspek berusia antara 21 hingga 57 tahun ditahan di lokasi kejadian. Seorang daripada mereka dipercayai bertindak sebagai penganjur atau ‘banker’ aktiviti perjudian tersebut,” katanya.
Haide berkata suspek telah diserahkan untuk menjalani ujian saringan air kencing dan tindakan lanjut, manakala kes disiasat di bawah Seksyen 6(1) Akta Rumah Judi Terbuka 1953.
Beliau berkata kes diklasifikasikan sebagai selesai dengan tangkapan dibuat.
Oleh Connie Chieng