
MIRI: Aktiviti kebudayaan seperti pembuatan ‘tangyuan’ iaitu hidangan tradisional masyarakat Cina sempena Festival Dong Zhi berupaya menjadi medium berkesan dalam memperkukuh perpaduan serta keharmonian masyarakat berbilang kaum di negara ini.
Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Chiew Choon Man berkata, penganjuran program tersebut oleh Pusat Khidmat Rakyat Ahli Parlimen Miri bukan sahaja memperkenalkan tradisi masyarakat Cina, malah membuka ruang kepada masyarakat pelbagai kaum untuk saling memahami dan menghargai budaya antara satu sama lain.
“Perayaan ini membawa mesej kebersamaan, ikatan kekeluargaan dan keharmonian yang selari dengan nilai masyarakat majmuk Malaysia,” katanya ketika berucap pada aktiviti membuat ‘tangyuan’ Festival Dong Zhi di sini, hari ini.

Menurut Chiew, aktiviti tersebut secara langsung seperti pembuatan tangyuan memberi peluang kepada peserta daripada pelbagai latar belakang etnik untuk merasai sendiri amalan tradisi, sekali gus mewujudkan suasana mesra dan penuh kegembiraan.
Beliau turut berkongsi asal-usul serta kepentingan budaya perayaan Dong Zhi ini, termasuk maknanya sebagai simbol perpaduan, pembaharuan dan kebersamaan dalam kehidupan bermasyarakat.
Chiew menegaskan bahawa kepelbagaian budaya merupakan antara kekuatan utama Malaysia dan perlu diraikan bersama bagi memupuk semangat keterangkuman, saling menghormati serta perpaduan nasional.
Oleh Liong Chai Ling