BARU-baru ini, Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi mencadangkan agar satu rang undang-undang (RUU) penggal tetap Parlimen perlu diwujudkan. Tujuan RUU ini adalah untuk memastikan kerajaan dapat terus stabil untuk kekal memerintah sehingga akhir penggal atau sebelum pilihan raya umum diadakan.
Cadangan ini berbangkit akibat daripada peristiwa baru-baru ini yang melibatkan gangguan dan percaturan oleh kalangan ahli politik yang mengelirukan politik semasa untuk mencapai politik kepentingan dan agenda politik yang mahu tebuk atap.
Pengerusi Barisan Nasional itu juga menyatakan pengalaman negara menyaksikan pertukaran tiga perdana menteri dalam satu penggal menyebabkan fokus sebenar iaitu memulihkan ekonomi, pelaburan dan pembangunan negara terjejas. Idea beliau ialah apabila kerajaan diwujudkan berdasarkan parti dominan atau gabungan dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, maka ia perlu kekal hingga akhir penggal.
Akta Parlimen Tetap
Sebenarnya idea mewujudkan Akta Parlimen Tetap oleh Zahid Hamidi bukanlah sesuatu yang tidak demokratik akan tetapi untuk memastikan kestabilan politik negara terus terpelihara. Justeru, ia dapat memberikan perhatian terhadap pembangunan negara tanpa gangguan pembangkang untuk terus berpolitik dan mengelirukan rakyat semata-mata untuk menumbangkan kerajaan sebagaimana Langkah Dubai baru-baru ini.
Pandangan Ahmad Zahid juga sebenarnya sejajar dengan langkah dilakukan di bawah Kerajaan United Kingdom (UK) di bawah David Cameron yang menetapkan tarikh pilihan raya setiap lima tahun dan memastikan kerajaan terus stabildan tidak ditumbangkan secara tidak demokratik.
Hanya melalui undian keabsahan kepercayaan di parlimen atau undian dua pertiga di parlimen sahaja yang mampu dan boleh membawa pilihan raya lebih awal. Maka, soal Akuan Bersumpah (SD) tidak lagi relevan. Ini dilakukan di UK dan merupakan suatu penanda aras penting bagi menghormati demokrasi dan pilihan raya yang ditentukan oleh pengundi pilihan raya yang lalu.
Di negara-negara lain, akta parlimen berpenggal tetap juga disekalikan dengan undang-undang anti lompat parti turut menetapkan tempoh matang sesebuah parlimen. Ia juga boleh memasukkan elemen-elemen lain seperti tindakan berundur atau meletakkan jawatan lebih awal oleh Perdana Menteri juga boleh membawa kepada pilihan raya awal namun perlu dalam tempoh matang dan digantikan dengan mana-mana pemimpin parti kerajaan.
Begitu juga, undi tidak percaya tersebut perlu diletakkan syarat yang lebih tinggi, iaitu perlu ada surat ditandatangani oleh 110 Ahli Parlimen bukannya hanya sekadar mencecah puluhan orang sahaja.
Kelebihan Akta Tetap Penggal Parlimen (FTPA)
Akta Tetap Penggal Parlimen 2011 atau Parlimen-Fixed Term Parliament Act (FTPA) yang diperkenalkan di UK pada era Perdana Menteri David Cameron adalah undang-undang yang mengubah cara pemilihan umum dan pengunduran diri berdasarkan situasi UK.
Terdapat kelebihan FTPA dilaksanakan berdasarkan pengalaman UK. Antaranya ialah memastikan kestabilan politik dan mampu memberikan perancangan pembangunan negara untuk tempoh lima tahun dan ini dapat mengelak aspek ketidaktentuan, gangguan politik dan kerajaan akan lebih fokus kepada pembangunan daripada berpolitik sepanjang masa yang memualkan rakyat yang mahukan fokus terhadap kesejahteraan hidup.
Apabila mempunyai tempoh dan tarikh spesifik pilihan raya atau pembubaran parlimen, maka ia dapat mencegah daripada memberikan kelebihan kepada pihak kerajaan. Sebaliknya pihak pembangkang boleh bersedia menghadapi pilihan raya tanpa berteka-teki tarikh pilihan raya.
Dengan kata lain, Perdana Menteri dan kerajaan ditadbirnya dapat dicegah memanfaatkan kekuasaan politiknya untuk meminta pembubaran parlimen mengikut kelebihan yang ada pada dirinya sebagai parti pemerintah.
Gabungan parti
Yang penting akta tersebut perlu memastikan kerajaaan yang memerintah terus dipegang oleh gabungan parti-parti yang bersetuju membentuk kerajaan sebelum ini dan bukannya oleh pihak pembangkang yang gagal membentuk gabungan majoriti namun cuba mengambil kesempatan atau cuba mengambil alih atau menumbangkan kerajaan.
Hal ini bermakna fokus ialah untuk kestabilan politik dan negara.
Namun akta ini tidak semestinya bersifat authoritarian yang bersifat memberi kelebihan kepada kedudukan Perdana Menteri. Sebaliknya, ia mementingkan tempoh penggal yang perlu ditadbir secara hingga akhir.
Namun tidak menghalang pertukaran perdana menteri dilakukan, namun perlu dibentangkan dan mendapat sokongan di parlimen. Yang penting perdana menteri terdiri daripada yang disokong oleh komponen-komponen parti kerajaan.
Daripada aspek lain, penetapan tarikh pilihan raya yang spesifik akan dapat meningkatkan akauntibiliti dan ketelusan serta mampu mencegah pembuatan keputusan yang berat sebelah kepada pembangkang atau kerajaan. Pilihan raya yang ditetapkan awal dan melalui mekanisme-mekanisme yang telus akan dapat menyakinkan aspek keadilan dalam kalangan pengundi.
Keterlibatan Parlimen dalam pembubaran
Dengan ada Akta Parlimen berjangka tetap, maka ini dapat memberikan autoriti kepada parlimen untuk menentukan sama ada menolak atau menerima permintaan untuk melakukan pembubaran parlimen. Perkara ini dapat mencerminkan prinsip demokrasi perwakilan parlimen, dan menghindari keputusan sepihak, maka ini akan meningkatkan akauntabiliti eksekutif terhadap badan legislatif.
RUU apabila diluluskan ia boleh dibuat secara eksperimen untuk satu atau dua penggal sebelum dinilai keberkesanan untuk ditambahbaik mahupun dimansuhkan.
Pemisahan kekuasaan
Kewujudan FTPA ini dapat dilihat sebagai langkah dalam mendukung konsep pemisahan kekuasaan, di antara eksekutif dan legislative dan ini mampu memberikan keyakinan dan memperkuatkan prinsip-prinsip demokrasi dan mencegah konsolidasi kekuasaan hanya berasa satu pihak sahaja.
Maka, ini dapat memartabatkan kekuasaan parlimen dalam membuat keputusan penting berkaitan dengan pilihan raya umum dan memancarkan keinginan majoriti pihak di parlimen yang melibatkan keputusan yang strategik seperti pemilihan umum melibatkan pertimbangan yang cermat dan dukungan yang lebih berpiawai.
Dengan ada FTPA ini maka ini boleh meredakan pergolakan politik negara. Tidak ada ruang bagi pihak pembangkang cuba untuk menumbangkan kerajaan sepanjang masa. Apabila ini berlaku, pihak kerajaan dan rakyat tidak lagi berasa rimas dengan gangguan-gangguan seumpama ini yang boleh menjejaskan ekonomi negara.
Pelabur juga akan semakin yakin dengan kestabilan politik negara dan mereka akan terus memberikan tumpuan untuk melipatgandakan pelaburan mereka di negara kita. Asas negara yang stabil dan makmur pula memberikan keyakinan rakyat untuk terus bekerja kuat untuk membina dan memperkasa ekonomi rakyat dengan lebih baik.
Sudah pasti produktiviti dan dinamika sosioekonomi negara akan tumbuh pesat dengan persekitaran yang lebih harmoni tanpa menggugat kestabilan politik. Yang pasti pakar undang-undang dan perlembagaan perlu meneliti perkara ini secara menyeluruh sebelum dibawa ke parlimen bagi tujuan perbahasan dan kelulusan di Dewan Rakyat.
- Profesor Madya Dr Awang Azman Awang Pawi adalah penganalisis sosiopolitik dan sosiobudaya di Jabatan Sosiobudaya, Universiti Malaya, Kuala Lumpur. Beliau juga ialah felo penyelidik Pusat Kajian Demokrasi dan Pilihan Raya Universiti Malaya (UMCEDEL).