
KUALA LUMPUR: Akta Pemerangkapan, Penggunaan dan Penyimpanan Karbon (CCUS) 2025 tidak terpakai di Sarawak dan Sabah adalah tepat sekali dari semua aspek.
Senator Pele Peter Tinggom (gambar) berkata, ini kerana Sarawak mempunyai perundangan berkenaan dengan pemerangkapan karbon sejak 2022 lagi.
“Fakta yang penting juga di mana, Sarawak sudah ada undang-undang berkenaan dengan Karbon terlebih dahulu iaitu sebelum (Rang Undang-Undang (RUU) yang kita bahaskan sekarang.
“Untuk perkongsian, Sarawak sudah mempunyai undang-undang tanah, hutan dan Karbon yang tersendiri iaitu (1) Sarawak Land Code (Amendment) yang merangkumi aktiviti penyimpanan karbon; (2) Land Code (Carbon Storage) Rules 2022 to include airspace and properties above the surface of land, as well as the seabed of the state’s continental shelf to provide legal framework for carbon capture, utilisation and storage (CCUS) activities. (3) Sarawak Forest Ordinance (Amendment) 2022 iaitu secara spesifik Section 70 to recognize forest carbon activities, including the measurement, reporting, and verification (MRV) of carbon stocks.
“Bukan setakat itu saja, Sarawak juga sudah ada Environment (Reduction of Greenhouse Gas Emission) Ordinance, 2023 dan Forests (Forest Carbon Activity) Rules, 2022,” katanya semasa membahas RUU CCUS 2025 dalam Persidangan Dewan Negara, hari ini.
Dalam pada itu, beliau berharap mereka yang di luar faham mengaра Sarawak dan Sabah dikecualikan daripada pemakaian RUU ini seperti yang diperuntukan di bawah fasal 2 RUU tersebut.
Katanya, kerjasama yang erat dan jitu di antara kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri khususnya di Sarawak dan Sabah amatlah diharapkan untuk membangunkan industri CCUS demi negara.
“Kita rujuk kepada Perkara 77 Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan Badan Perundangan sesuatu Negeri berkuasa membuat undang-undang mengenai apa-apa perkara yang tidak disebut satu persatu dalam mana-mana Senarai yang dinyatakan dalam Jadual Kesembilan, iaitu yang bukan suatu perkara yang berkenaan dengannya Parlimen berkuasa membuat undang undang.
“Jadual ke-9 Perlembagaan Persekutuan pula menyatakan tanah dan hutan di bawah bidang kuasa negeri dan Perkara 77 Perlembagaan juga menyatakan Karbon yang tidak tersenarai di mana-mana bidang kuasa juga dibawah bidang kuasa negeri maka Negeri dan Dewan Undangan Negeri Sarawak secara khususnya ada kuasa membuat undang-undang berkenaan dengan karbon.
“Ini diperuntukan di bawah Perkara 73 (b). Perlembagaan Persekutuan yang menyatakan, “Pada menjalankan kuasa perundangan yang diberikan kepadanya oleh Perlembagaan ini- Badan Perundangan sesuatu Negeri boleh membuat undang-undang bagi keseluruhan atau mana-mana bahagian Negeri itu,” bahas beliau lagi. -UKAS