PANDANGAN sedemikian ini berupa pandangan penulis dan tiada kena-mengena dengan dasar akhbar Utusan Sarawak atau mana-mana pihak lain.
PERKENAN Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah terhadap Rang Undang- undang (RUU) Perlembagaan (Pindaan) 2022 (Akta A1642) pada 19 Januari lalu pastinya suatu petanda baik dalam konteks penyamarataan hak bagi negeri Sabah dan Sarawak se- perti yang diperuntukkan dalam Perjanjian Malaysia 1963 (MA63). Di samping itu, pewartaannya pada 25 Januari dan penguatkuasaannya menggambarkan komitmen Kerajaan Persekutuan menghormati peruntukan yang telah digariskan dalam MA63.
Pindaan terhadap Fasal (2) Perkara (1) dan (2), Perkara 160, menjelaskan kedudukan ne- geri-negeri dalam Persekutuan Malaysia. Manakala pindaan terhadap Fasal (6) dan (7) Perkara 161A Perlembagaan Persekutuan pula, menyentuh penetapan ras yang dikira sebagai asli bagi Sarawak, seperti yang diperuntukkan dalam undang-undang negeri.
Menurut Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Wan Junaidi Tuanku Jaafar, Penguatkuasaan Akta A1642 amat signifikan dan pastinya khabar gembira yang dinanti-nantikan oleh rakyat kedua-dua buah negeri, iaitu Sabah dan Sarawak. Andai dilihat dari sisi kedaulatan dan kesaksamaan perundangan, hal sedemikian sewajarnya telah lama diterjemahkan berlandaskan peruntukan asal seperti yang telah dipersetujui dan dimeterai.
Dalam jangka masa lebih setengah abad, hak Sabah dan Sarawak seakan-akan ‘dikurung’ dalam sel ‘tahanan istimewa’ lewat percaturan yang ‘pendakwaannya’ terselit unsur ultra vires. Walaupun bagi pihak tertentu kenyataan sedemikian bersifat ‘sensitif’, namun, hakikat berkenaan harus diterima tanpa terselit ‘dendam’ atau ‘salah sangka’. Bagi warga kedua-dua buah negeri yang selama ini tidak timbul kesangsian mengakui diri mereka sebagai warganegara Malaysia, kewajaran dalam pemastian segala hak seperti yang telah diperuntukkan dan dipersetujui dalam sistem perundangan harus dizahirkan. Kete- rpisahan dari segi aspek geografi tidak seharusnya dilihat sebagai alasan yang menghambat pelaksanaan apa-apa juga dasar yang telah ditetapkan.
Hakikatnya, dalam pelbagai situasi, kedua-dua buah negeri berperanan besar sebagai ‘kuasa penentu’ serta game changer, khususnya dalam perkara yang melibatkan ranah siasah negara. Demikian juga halnya dengan ‘sumbangan’ hasil sumber aslinya yang telah merubah wajah pembangunan dan status ibu negara, di samping penjanaan pendapatan negara. Hakikat sedemikian terbias daripada pandangan rakan induk sebuah Persekutuan serta ‘jajahan’ setanahnya. Keterbiasan yang menerbitkan persepsi yang kurang ‘menye- lesakan’ bagi warga kedua-dua buah negeri.
Perkenan Yang di-Pertuan Agong dan penguatkuasaan Akta A1642 amat besar signifikannya dalam konteks pengiktirafan ter- hadap kedudukan kedua-dua buah negeri, suatu bentuk autonomi yang telah sekian lama ‘dieramkan’ dalam balang kedap udara. Kini segalanya bergantung pada penzahiran secara ‘ikhlas’ apa-apa yang telah dipersetujui bagi memastikan bahawa hal sedemikian bukan sekadar ‘pancingan’ ketika pergolakan siasah negara, khususnya di peringkat Kerajaan Persekutuan, kian meruncing dengan pelarasan perhatian para pejuang dan ‘tentera’ politik tertumpu kepada Pilihan Raya Umum yang semakin hampir. Sudah pasti, sekali lagi peranan kedua-dua buah wilayah ini sebagai game changer serta balancing power dilihat amat penting bagi me- rubah kedudukan parti-parti politik utama di tanah seberang.
Apa-apapun, bagi rakyat kedua-dua buah negeri ini (ataupun wilayah, bergantung pada keputusan pemimpin negeri ma- sing-masing), keputusan ini memberi nafas baharu yang bakal merubah bukan sahaja iklim pembangunan siasah, ekonomi dan sosiobudayanya, malah, status peribuminya yang selama ini acap kali diistilahkan, berdasarkan pengalaman peribadi penulis bermastautin di Semanjung, sebagai ‘warga pulau’.
Lindungi diri, lindungi bangsa, lindungi negara!