
PUTRAJAYA: Kementerian Kesihatan (KKM) telah melaksanakan 25,643 aktiviti penguatkuasaan melibatkan pemeriksaan ke atas 496,247 premis di seluruh negara hingga 30 November lepas, susulan berkuat kuasa Akta Kawalan Produk Merokok Demi Kesihatan Awam 2024 (Akta 852).
KKM memaklumkan daripada jumlah penguatkuasaan itu, 160,839 kompaun bagi kesalahan boleh dikompaun telah dikeluarkan merangkumi 67 kompaun atas kesalahan orang belum dewasa (OBD) membeli produk merokok, merokok di kawasan larangan (137,568), OBD merokok (4,886) serta melibatkan kesalahan tuan punya bangunan atau penghuni (18,318).
“Sebanyak 2,352 kertas siasatan dibuka bagi kesalahan tidak boleh dikompaun,” menurut kenyataan itu.
Akta 852 dikuatkuasakan pada 1 Oktober 2024, manakala pelaksanaan penuh bermula 1 Oktober 2025, dengan pelancaran Operasi Selamat Paru-Paru (Ops Selamat PaPa) bagi memperkukuh aktiviti penguatkuasaan di bawah akta berkenaan.
Menurut KKM, operasi tersebut memberi tumpuan utama kepada aktiviti pengilangan, pengedaran dan penjualan semua jenis produk merokok termasuk rokok elektronik (vape), sebagai langkah melindungi generasi muda daripada bahaya produk tersebut yang semakin berleluasa.
Bagi tindakan pendakwaan, KKM memaklumkan 58 kes telah selesai dibicarakan di mahkamah dengan jumlah denda RM394,700 dikenakan.
Berkongsi perkembangan berkaitan, KKM memberitahu Mahkamah Majistret di sini pada semalam, telah mensabitkan kesalahan terhadap seorang pelawak Shahmira Muhamad atau lebih dikenali sebagai Shuib Sepahtu, atas kesalahan mempromosi vape menerusi program Dol’s Podcast, dua tahun lepas.
Menurut KKM, tindakan Shuib telah melanggar Seksyen 9(1) Akta 852 dan beliau telah didenda RM10,000.
KKM menegaskan bahawa tindakan penguatkuasaan dan pendakwaan merupakan pilihan terakhir, sambil menggesa semua pihak agar bekerjasama mematuhi Akta 852 demi mencegah penyakit dan mencapai tahap kesihatan awam yang optimum.- Bernama