SEJUMLAH 18 perlawanan telah berlangsung minggu ini sepanjang dua hari penganjuran Liga Sepak Takraw Kenyalang (KSL) 2021 bagi Zon Sri Aman di Stadium Mini, semalam.
Presiden Persatuan Sepak Takraw Bahagian Sri Aman (PESTASA), Awang Putra Yusrie Awang Redzuan berkata, antara regu yang mencuri tumpuan ialah TTB Force C, Project FT, Aniberst A dan Rimbas United.
“Bagi aksi minggu pertama saingan KSL 2021 Zon Sri Aman, sebanyak 18 perlawanan telah dijalankan yang berlangsung selama dua hari berturut-turut di Stadium Mini Sri Aman.
“Saya menjangkakan aksi lebih sengit akan terus disajikan sepanjang berlangsungnya kesemua perlawanan mengikut jadual ditetapkan ini,” katanya.
Jelasnya lagi, bagi saingan minggu kedua yang bersambung pada Sabtu ini beliau menjangkakan sejumlah 18 perlawanan lagi akan berlangsung.
“Untuk baki saingan yang bersambung Sabtu ini, 18 lagi perlawanan akan berlangsung untuk kumpulan dan selepas itu aksi suku akhir, separuh akhir dan perlawanan akhir juga akan ditentukan dan dilangsungkan Ahad ini.
“Regu yang berjaya meraih kemenangan pada minggu lepas setentunya akan cuba mengekal momentum cemerlang mereka.
“Justeru, pasti aksi terbaik bakal diperagakan para pemain dalam usaha memastikan pemburuan mata seterusnya pada minggu kedua nanti,” ujarnya sambil menambah sebanyak 24 regu telah mempamerkan aksi dalam misi memburu Kejuaraan KSL 2021.
KSL Zon Sri Aman kali ini menawarkan hadiah berupa wang tunai RM1,500 beserta pingat kepada sang juara.
Manakala, naib juara serta tempat ketiga masing-masing akan menerima wang tunai RM1,000 dan RM500 termasuk pingat.
Dua regu yang layak ke final peringkat zon, secara automatik akan mewakili Zon Sri Aman untuk berentap di pusingan ‘Grand Finale’ yang akan berlangsung di Kuching pada Disember nanti.