
BANGKOK: Bintang sensasi Muay Thai negara, Muhammad Johan Ghazali Zulfikar berjaya menewaskan petarung Myanmar, Ye Yint Naung pada aksi ONE Friday Fights 141 di Stadium Lumpinee, Bangkok, Thailand, malam ini.
Dalam pertarungan kategori ‘flyweight’ yang berlangsung sengit, Johan atau lebih dikenali sebagai Jojo mempamerkan aksi agresif dan konsisten sepanjang tiga pusingan untuk menguasai gelanggang.
Tekanan berterusan serta kombinasi pukulan dan tendangan padu yang dilepaskan atlet muda negara itu berjaya mengganggu rentak lawan, sekali gus meyakinkan juri.

Hasilnya, Jojo diumumkan pemenang menerusi keputusan majoriti juri, sekali gus menghadiahkan kemenangan penting sebagai pembuka tirai musim ini.
Kejayaan tersebut bukan sahaja meningkatkan moralnya, malah mengukuhkan reputasi sebagai antara prospek terbaik Muay Thai Malaysia di pentas antarabangsa.